USM KUKUHKAN LATIHAN KLINIKAL PELAJAR PERUBATAN MENERUSI BENGKEL DAN PERTANDINGAN KEMAHIRAN PEMBEDAHAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan graduan perubatan yang kompeten dan berdaya saing apabila menganjurkan ‘East Coast Undergraduate Basic Surgical Skills Workshop and Competition 2026’ pada 19 Jun lalu.

Program anjuran Pusat Integrasi Simulasi Klinikal (i-CSC), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Laparo-Endoscopic USM (LES) dan Persatuan Sains Perubatan (MedSoc) melibatkan penyertaan lebih 100 pelajar prasiswazah dari USM dan Institusi Pengajian Tinggi lain di zon Pantai Timur.

Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan awal serta latihan secara ‘hands-on’ kepada pelajar perubatan berkaitan kemahiran asas pembedahan seperti ‘knot tying’, ‘suturing’ dan ‘basic laparoscopy’, di samping membina keyakinan diri sebelum dan semasa menjalani latihan klinikal sebenar.

Selain itu, program ini turut menekankan aspek ketepatan teknik, koordinasi serta kecekapan motor halus, di samping memupuk budaya pembelajaran yang berdisiplin dan kompetitif melalui pertandingan kemahiran pembedahan yang dianjurkan.

Pendekatan latihan berasaskan simulasi dan bimbingan profesional yang sistematik ini bukan sahaja membantu meningkatkan kompetensi klinikal pelajar, malah berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti bakat dan potensi pelajar yang berminat dalam bidang pembedahan bagi tujuan pembangunan diri dan bimbingan lanjut.

Penyertaan pelajar dari universiti lain turut membuka ruang kepada pertukaran ilmu, pembinaan rangkaian profesional serta pemupukan budaya persaingan yang sihat dalam kalangan bakal pengamal perubatan.


Secara keseluruhannya, penganjuran program ini diharap dapat menyumbang kepada usaha penyeragaman kemahiran asas pembedahan dalam kalangan pelajar perubatan, selain meningkatkan profil USM sebagai pusat latihan kemahiran pembedahan yang kompeten dan berprestij.
Sumber Laporan & Foto: Mohd Firdaus Abd Ghani
- Created on .
- Hits: 82