USM LAKSANA PROGRAM PEMINDAHAN ILMU STEM DAN KESIHATAN KOMUNITI RENTAS SEMPADAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Disember 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Rancangan Kokurikulum (Kursus Sains Kesukarelawaan), Kampus Kesihatan telah melaksanakan program kemasyarakatan dan pendidikan antarabangsa bertemakan ‘USM to Sri Sakhon: STEM Knowledge Transfer’ di Sri Sakhon, Narathiwat, Thailand dari 5 hingga 7 Disember lalu.

Program ini melibatkan seramai 34 pelajar Kampus Kesihatan USM daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), dengan sokongan sembilan (9) staf pengiring USM dan INTELMEDIK.

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan USM dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dalam memberi kesedaran dan informasi berguna berhubung kesihatan komuniti serta pemindahan ilmu merentas sempadan.

Sepanjang program tiga (3) hari itu, komuniti di Sri Sakhon, Narathiwat, Thailand, menerima pelbagai manfaat khususnya dalam aspek kesihatan dan pendidikan. Antara komponen utama program adalah pelaksanaan perkhidmatan berkhatan percuma yang melibatkan 37 orang kanak-kanak lelaki, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga komuniti setempat yang turut melibatkan seramai lapan (8) siswa USM secara langsung dalam menjayakan perkhidmatan tersebut.

Selain itu, program ‘Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) Knowledge Transfer’ ini juga menjadi tumpuan utama apabila para pelajar USM melaksanakan pelbagai aktiviti pemindahan ilmu kepada murid sekolah rendah di Sri Sakhon. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ‘Science Treasure Hunt’, eksperimen sains asas, ceramah kesihatan serta aktiviti interaktif yang dirangka bagi merangsang minat dan kefahaman murid terhadap sains dan teknologi secara praktikal dan menyeronokkan melibatkan 50 murid secara langsung dalam aktiviti pendidikan ini.

Program ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sokongan seperti senamrobik bersama komuniti, sesi ramah mesra penduduk kampung serta lawatan budaya yang memberi peluang kepada pelajar USM memahami adat, nilai dan kehidupan masyarakat setempat. Interaksi ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala antara USM dan komuniti Sri Sakhon, malah membentuk nilai empati, kepimpinan dan sahsiah dalam kalangan pelajar.

Program ini dilihat memberi impak positif yang ketara termasuk peningkatan kesedaran kesihatan komuniti melalui ceramah dan aktiviti fizikal, peningkatan minat murid terhadap sains dan teknologi serta pengukuhan jaringan kerjasama antara USM dan komuniti antarabangsa, malah komuniti terbabit berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan dijadikan sebagai program tahunan.

Sumber Laporan & Foto: Nuralya Rasul Abdul Quddus dan Dr. Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah
- Created on .
- Hits: 375