Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM LAKSANA PROGRAM PENEMPATAN KLINIKAL ANTARABANGSA BERSAMA WALAILAK UNIVERSITY

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 April 2026 - Program Penempatan Klinikal Antarabangsa Berteraskan Amalan dan Penyelidikan Berasaskan Bukti bagi pelajar Walailak University, Thailand berjaya dilaksanakan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bermula 15 Mac sehingga 9 April lalu.

1000248826

Program yang dianjurkan oleh Program Kejururawatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM ini merupakan inisiatif strategik di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai pada 29 Mei 2024. Program ini juga bertujuan meningkatkan keupayaan pelajar dalam mengaplikasikan garis panduan dan protokol rawatan berasaskan bukti saintifik terkini selain memperkukuh kemahiran pemikiran kritikal dan membuat keputusan klinikal berdasarkan literatur penyelidikan yang relevan.

1000248832

1000248828

Seramai enam (6) orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dan dua (2) pensyarah universiti berkenaan telah menyertai program ini bagi memperkukuh integrasi antara pendidikan dan mengaplikasikan amalan perawatan berdasarkan bukti saintifik terkini dalam persekitaran hospital pakar. Sepanjang tempoh empat (4) minggu, para peserta menjalani latihan klinikal intensif yang merangkumi aspek penjagaan ibu dan anak di Bilik Bersalin, Wad Antenatal serta Wad Postnatal. Penempatan tersebut kemudiannya diteruskan ke Wad Perubatan dan Wad Pembedahan Am bagi melengkapkan pendedahan klinikal mereka.

1000248834

1000248830

Selain pendedahan klinikal, program ini merangkumi lawatan akademik ke fasiliti seperti Advance National Honey Landmark (AnNaHL), Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES), Sekolah Dalam Hospital dan Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik, HPUSM. Para pelajar juga mengikuti lawatan kebudayaan ke Laman Warisan Seni Kampung Laut, Tumpat dan menyertai sesi pertukaran hidangan tradisional di Makmal Sains Penyediaan Makanan, PPSK bagi berkongsi warisan kulinari antara kedua-dua universiti.

1000248824

Inisiatif ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kompetensi profesional dan teknikal para pelajar terlibat, malah mengukuhkan lagi jaringan kerjasama akademik dan potensi kolaborasi penyelidikan antara USM dan Walailak University di peringkat antarabangsa.

Sumber Laporan & Foto: Nur Adibah Solihin Sulaiman

  • Created on .
  • Hits: 127