USM LAKSANA PROSEDUR ‘PULMONARY EMBOLISM THROMBECTOMY’ PERTAMA MENGGUNAKAN ‘INARI FLOWTRIEVER SYSTEM’
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Jun 2026 – Jabatan Radiologi Intervensi, Universiti Sains Malaysia (USM), telah mencipta satu lagi pencapaian penting dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan prosedur ‘Pulmonary Embolism Thrombectomy’ pertama di Pantai Timur menggunakan ‘Inari FlowTriever System’ di ‘Advanced Minimally Invasive Endovascular and Neurointerventional Unit’ (AMIEN), HPUSM pada 11 Jun lalu.


Prosedur tersebut dijalankan oleh pasukan pakar dari Jabatan Radiologi Intervensi USM dengan kerjasama erat pelbagai disiplin termasuk pakar kardiologi, pakar anestesiologi serta pasukan kejururawatan dan sokongan klinikal bagi merawat pesakit yang mengalami ‘pulmonary embolism’ (PE), iaitu keadaan serius yang berlaku apabila saluran darah paru-paru tersumbat oleh bekuan darah.

Penggunaan sistem ‘FlowTriever’ membolehkan bekuan darah dikeluarkan secara mekanikal melalui teknik invasif minimum tanpa memerlukan pembedahan terbuka. Sistem ini juga menawarkan beberapa kelebihan berbanding prosedur ‘mechanical thrombectomy’ lain dalam rawatan PE.

Reka bentuk kateter berkaliber besar dan mekanisme aspirasi membolehkan penyingkiran trombus yang lebih efektif, sekali gus membantu memperbaiki fungsi ventrikel kanan dan hemodinamik pesakit dengan lebih cepat. Teknologi tersebut berpotensi meningkatkan kadar pemulihan pesakit, mengurangkan komplikasi serta mempercepatkan tempoh rawatan berbanding kaedah konvensional bagi kes-kes yang sesuai.


Pencapaian ini sekali gus memperkukuhkan komitmen USM dalam memperkenalkan teknologi perubatan terkini serta memperluaskan akses kepada rawatan berasaskan inovasi demi manfaat pesakit dan pembangunan perkhidmatan kesihatan negara.
Sumber Lapotan & Foto: Dr. Nasibah Mohamad
- Created on .
- Hits: 335