USM MASUK KAMPUNG: PEMINDAHAN ILMU MANFAAT DUA HALA PELAJAR DAN KOMUNITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) terus memainkan peranan sebagai peneraju dalam bidang pendidikan dan kesejahteraan komuniti apabila seramai 16 mahasiswa berjaya melaksanakan Program Pendidikan Pergigian Kanak-Kanak di Sekolah Kebangsaan Kuala Sungai, Gua Musang, pada 14 Jun lalu.
Program anjuran bersama MEDICOM Malaysia itu melibatkan penyertaan murid tahun tiga (3) hingga tahun enam (6) dan dirangka khas untuk memberi pendidikan kesihatan mulut secara interaktif, kreatif dan menyeronokkan kepada komuniti luar bandar sejajar dengan aspirasi USM sebagai universiti APEX negara.
Mendapat peruntukan dana di bawah Program ‘Service-Learning Malaysia – University for Society’ (SULAM) dan Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani, ianya merupakan inisiatif dan usaha USM dalam mendekatkan institusi pengajian tinggi dengan masyarakat selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-3 iaitu menjamin kehidupan sihat dan kesejahteraan untuk semua peringkat umur termasuk komuniti terpinggir.
USM bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah berperanan aktif memacu perubahan sosial. Program ini juga memberi manfaat dua hala apabila kanak-kanak pedalaman mendapat pendedahan kesihatan mulut manakala pelajar pergigian dapat mengasah kemahiran komunikasi serta nilai kemanusiaan. Penglibatan aktif para pelajar dalam program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran komunikasi mereka, malah memberi pengalaman lapangan yang signifikan dalam mendidik komuniti.
Program bermula awal pagi dengan sesi suai kenal dan senamrobik sebelum peserta dibahagikan kepada empat (4) kumpulan dan setiap kumpulan dikendalikan oleh pelajar PPSG yang bertindak sebagai jurulatih.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk penceritaan interaktif melalui buku ‘Kacip Geraham dan Taring’, pertandingan mewarna ‘Warna-Warni Gigi Ceria’, permainan pendidikan kesihatan dan nilai murni selain bengkel praktikal memberus gigi menggunakan teknik dua minit bersama ‘disclosing tablet’.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang dan Dr. Noor Huda Ismail
- Created on .
- Hits: 126