USM METERAI MoA BERSAMA RSHS, ANJUR SEMINAR KANSER TIROID ANTARABANGSA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Januari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Rumah Sakit Hasan Sadikin (RSHS), Indonesia, bersempena penganjuran ‘International Thyroid Cancer Seminar’ yang berlangsung di Auditorium RSHS, Bandung pada 22 Disember lalu.

Kerjasama strategik yang turut melibatkan Universitas Padjadjaran (UNPAD) ini bertujuan memperkukuh hubungan akademik, klinikal dan penyelidikan, khususnya dalam bidang kanser tiroid.

Majlis penandatanganan MoA telah berlangsung dengan lancar dan penuh signifikan sebagai simbol komitmen bersama antara USM dan RSHS dalam menjalin kerjasama dua hala secara formal dan berstruktur. Perjanjian ini dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran akademik dan klinikal, latihan profesional serta penganjuran program ilmiah pada masa hadapan.

Selain itu, ‘International Thyroid Cancer Seminar’ yang menghimpunkan seramai 350 peserta turut menjadi platform perkongsian ilmu berkaitan perkembangan terkini dalam diagnosis, rawatan dan pengurusan kanser tiroid.

Kehadiran delegasi USM dalam seminar ini mencerminkan komitmen USM dalam menyokong usaha kolaboratif antarabangsa serta pemerkasaan bidang penyelidikan dan rawatan kanser.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Norazlina Mat Nawi
- Created on .
- Hits: 262