Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM NEXUS 2026: PLATFORM KEPIMPINAN DAN KOLABORASI ANTARABANGSA PELAJAR PERUBATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Januari 2026 – Sebagai usaha memperkukuh rangkaian kolaboratif antarabangsa di samping memperkasakan pembangunan kepimpinan pelajar perubatan melalui pendedahan kepada perspektif global, nilai profesional, kecekapan silang budaya dan kerjasama global dalam kalangan pelajar perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) telah menganjurkan USM NEXUS 2026: The International Leadership and Cultural Exchange pada 15 hingga 17 Januari lalu.

1000218080

Program dengan kerjasama Medical Students’ Society USM (MedSoc USM) itu menghimpunkan hampir 100 orang pelajar perubatan serta wakil akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Gaza, Itali dan New Zealand, mewakili institusi masing-masing termasuk USM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Management and Science University (MSU), Universitas Trisakti, Universitas Muhammadiyah Makassar, Princess of Naradhiwas University dan Universiti Al-Azhar Gaza.

1000218084

1000218082

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob, yang mencerminkan sokongan berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan pemimpin penjagaan kesihatan masa hadapan yang berprinsip dan bersedia menghadapi cabaran global.

1000218086

Salah satu komponen utama program ialah Forum Kepimpinan yang menampilkan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail dan Presiden Persatuan Alumni Doktor USM, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam sebagai panel. Kedua-dua tokoh ini berkongsi pandangan pakar mengenai kepimpinan berteraskan nilai, integriti profesional serta pengaruh yang bertanggungjawab dalam sistem penjagaan kesihatan.

1000218088

Selain itu, program ini juga turut diisi dengan pelbagai komponen lain merangkumi sesi pembangunan kepimpinan, lawatan ilmiah ke ‘Interactive Galeri for Medical Sciences’ (SPICES), pertandingan ‘USM NEXUS Echoes Youth Leadership Talk’, lawatan pembelajaran berasaskan pengalaman ke An-NaHL Rumah Kelulut, lawatan ke lokasi kebudayaan dan warisan di Kelantan serta Malam Kebudayaan yang bertujuan memupuk kefahaman antara budaya dan jaringan profesional.

1000218090

Program ini antara lain bertujuan melahirkan graduan perubatan yang bukan sahaja kompeten dari segi klinikal malah berteraskan nilai etika, berorientasikan kepimpinan dan bertanggungjawab secara sosial, selaras dengan falsafah pendidikan PPSP USM.

1000218094

Kejayaan penganjuran USM NEXUS 2026 membuktikan komitmen berterusan USM terhadap agenda pengantarabangsaan, pembangunan kepimpinan serta pemerkasaan pendidikan perubatan melalui pembentukan bakal profesional penjagaan kesihatan yang kompeten, beretika dan berdaya saing di peringkat global.

1000218092

Turut hadir dalam program ini ialah Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Pengarah Kampus, UIAM Kuantan, Profesor Dr. Jamalludin Ab Rahman dan Penasihat USM NEXUS 2026, Profesor Madya Dr. Norsuhana Omar.

Sumber Laporan: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: MedSoc USM

  • Created on .
  • Hits: 135