USM PERKASA KAPASITI PENYELIDIK MENERUSI BENGKEL PROGRAM INCCCA BERSAMA KEELE UNIVERSITY
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) terus komited memperkasa kecemerlangan penyelidikan apabila menganjurkan Bengkel Program INCCCA bersama Keele University, United Kingdom: ‘Increasing Capacity and Capability in Clinical Trials’ pada 14 Jun lalu sebagai platform pembangunan kapasiti penyelidik bertaraf antarabangsa.


Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada para peserta mengenai konsep serta pelaksanaan Program INCCCA, di samping menyediakan ruang konsultasi secara langsung bersama pakar antarabangsa dari Keele University, Dr. Sarah Lawton, yang berpengalaman luas dalam penyelidikan klinikal dan translasi. Program ini turut menekankan pemerkasaan kemahiran pembangunan protokol penyelidikan melalui perkongsian kajian kes antarabangsa yang komprehensif dan berimpak tinggi.


Penganjuran bengkel ini dijangka dapat memperkukuh keupayaan penyelidik PPSP dalam membangunkan protokol penyelidikan yang memenuhi piawaian global, sekali gus meningkatkan daya saing dalam memperoleh geran penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, bengkel ini juga berpotensi menyumbang kepada penghasilan penerbitan berimpak tinggi serta memperluas jaringan kolaborasi strategik global.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi USM untuk memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti, mempertingkatkan kualiti penyelidikan dan inovasi, serta menyokong pembangunan sistem perubatan dan kesihatan negara secara mampan.
USM akan terus komited menganjurkan program pembangunan akademik dan penyelidikan berimpak tinggi sebagai usaha melahirkan penyelidik berdaya saing dan berpengaruh di peringkat global.

Turut menyertai bengkel ini ialah Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharudin; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), PPSP USM, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Dekan (Libatsama Industri – Komuniti dan Pembangunan), PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud dan Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas), PPSP USM, Profesor Madya Dr. W Mohd Nazruddin W Hassan.
Sumber Laporan & Foto: Che Ismail Che Lah
- Created on .
- Hits: 156