USM PERKASA KESEDARAN KESIHATAN PEKERJAAN MELALUI PROGRAM SAFEZONE @ERAWAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmen dalam bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (KPP) melalui penganjuran Program SAFEZONE @ERAWAN: Kesedaran Bunyi Bising, Haba dan Kualiti Udara di Erawan LMW Industries Sdn. Bhd., Bachok, semalam.


Program anjuran Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), USM dan Sekretariat EOSH Kampus Kesihatan ini melibatkan seramai 48 peserta, terdiri daripada pekerja Erawan LMW Industries Sdn. Bhd dan pelajar tahun dua (2) Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, PPSK yang mengambil kursus GTK206 Higen Industri sebagai pembelajaran dan pengajaran translapangan.


Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dan pekerja industri mengenai risiko pendedahan bunyi bising, haba dan kualiti udara di tempat kerja, di samping memperkukuh amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui pendekatan teori dan praktikal.

Pelbagai pengisian telah dilaksanakan termasuk ceramah kesedaran, kuiz interaktif, pameran poster serta demonstrasi penggunaan alat perlindungan diri (PPE). Selain itu, program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk meningkatkan kefahaman mengenai pemakaian PPE yang betul sebagai langkah pencegahan kecederaan di tempat kerja.

USM melihat program ini sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik universiti–industri serta memperluas pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dalam kalangan pelajar.

Secara keseluruhan, program ini memberi impak positif kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta menyokong usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan produktif.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Siti Marwanis Anua
- Created on .
- Hits: 103