USM PERKASA PENDIDIKAN BAHAYA ‘VAPE’ DAN KETUM DI SEKOLAH RENDAH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Jun 2025 – Sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penggunaan ‘vape’ dan ketum dalam kalangan pelajar sekolah, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) telah menganjurkan Program Cegah Awal: Bahaya Vape dan Ketum di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chengal, Bachok pada 19 Jun lalu.
Program yang menghimpunkan seramai 130 peserta termasuk pelajar dan guru itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam memperluas pendidikan kesihatan ke peringkat komuniti dan akar umbi.
Program tersebut juga bertujuan memberi pendidikan kepada guru tentang peranan mereka dalam membimbing anak-anak menjauhi gejala ini serta membina daya tahan pelajar terhadap pengaruh rakan sebaya dan taktik pemasaran produk ‘vape’ yang semakin meluas.
Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan persekitaran sekolah yang bebas ‘vape’ dan ketum dengan meningkatkan peranan pihak sekolah dalam usaha pencegahan serta pengawasan.
Antara pengisian yang dijalankan sepanjang program ini ialah ceramah interaktif berkaitan bahaya dadah, ‘vape’ dan ketum oleh pegawai dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bachok serta pakar-pakar USM dari Jabatan Farmakologi dan Jabatan Pendidikan Perubatan, PPSP, sesi soal jawab, pameran kesihatan serta kuiz bagi menguji kefahaman peserta.
USM sentiasa komited dalam memainkan peranan aktif menangani isu sosial dan kesihatan masyarakat. Program ini memberi pendedahan kepada murid dan guru tentang risiko ketagihan serta membina ketahanan terhadap pengaruh negatif.
Pelaksanaan program ini juga bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 18 Jun lalu yang menggesa agar tindakan tegas dan bersepadu diambil dalam menangani peningkatan penggunaan ‘vape’ dalam kalangan anak-anak muda.
Program seperti ini wajar diteruskan di sekolah-sekolah lain bagi membentuk komuniti yang lebih sihat dan bebas daripada bahaya ‘vape’ dan ketum.
Sumber Laporan dan Foto: Profesor Madya Ts. Dr. Wan Nazatul Shima Shahidan
- Created on .
- Hits: 46