USM PERKAYA PENGALAMAN GLOBAL PELAJAR PERGIGIAN MELALUI PERTUKARAN AKADEMIK DAN BUDAYA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Oktober 2026 – Pelajar Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang memperkaya pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam bidang pergigian, budaya serta teknologi menerusi program ‘Uniting Cultures, Shaping Global Dentistry: Universiti Sains Malaysia–Toyohashi University of Technology Cultural and Academic Exchange’ di Osaka dan Nagoya, Jepun, pada 20 hingga 28 September lalu.

Program anjuran Persatuan Sains Pergigian, PPSG dengan kerjasama Toyohashi University of Technology (TUT) itu bertujuan membina jaringan dan kerjasama antarabangsa serta memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sistem pergigian, pendidikan dan budaya masyarakat Jepun.

Sepanjang program, para pelajar menjalankan temu bual berkaitan kesedaran kesihatan oral bersama pelancong asing di lokasi bersejarah di Osaka, di samping menganjurkan aktiviti interaktif berkaitan penjagaan kesihatan oral bersama pelajar TUT.


Pelajar turut mengikuti sesi diskusi bersama Persatuan Pergigian Toyohashi bagi mendapatkan perspektif mengenai pendekatan pendidikan dan promosi kesihatan oral di Jepun, selain berpeluang bertukar pengetahuan dan pengalaman dengan pelajar serta tenaga pengajar TUT.

Lawatan ke TUT turut memberi pendedahan kepada peserta tentang teknologi inovatif seperti semikonduktor, realiti maya (VR) dan teknologi berkaitan buta warna serta potensi aplikasinya dalam pendidikan, latihan dan perkhidmatan pergigian pada masa hadapan.

Program yang mendapat pembiayaan Pejabat Antarabangsa USM melalui Mobility Matching Fund (MOMAF) itu turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai keunikan budaya dan adat resam masyarakat Jepun serta kemahiran mengurus program di peringkat antarabangsa dan membina rangkaian profesional.


Inisiatif tersebut menjadi platform pembelajaran rentas budaya yang menyokong pembangunan pelajar pergigian berkemahiran dan berpandangan global, di samping memperkukuh hubungan akademik serta kerjasama antara USM dan TUT selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3, 4 dan 17.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Rosmaliza Ramli
- Created on .
- Hits: 103