USM PERKAYA PERKONGSIAN KEPAKARAN ANTARABANGSA DALAM IMPLANTOLOGI PERGIGIAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Oktober 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), memperkaya perkongsian kepakaran antarabangsa dalam bidang implantologi pergigian melalui penganjuran ‘PPSG, Universiti Sains Malaysia-Anthogyr Academic Symposium’ pada 6 Oktober lalu.

Simposium bertemakan “Advances in Full-Arch Implant Rehabilitation: Digital Workflow and Clinical Decision Making” itu dianjurkan dengan kerjasama Straumann (China) Investment Co. Ltd. dan menghimpunkan 45 peserta, termasuk 25 delegasi dari China, bagi berkongsi pengetahuan serta perkembangan teknologi terkini dalam rehabilitasi implan pergigian.

Pengisian simposium merangkumi ceramah oleh pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial (OMFS) PPSG USM, Dr. Mohd Faizal Abdullah, berkaitan aliran kerja digital dalam rehabilitasi implan seluruh lengkung gigi, serta perkongsian oleh Dr. Muhammad Asyraf Hamzah, pensyarah OMFS dari Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM, mengenai pembuatan keputusan klinikal, pengurusan komplikasi dan hasil rawatan jangka panjang. Simposium turut menampilkan perkongsian kes klinikal berkaitan rehabilitasi implan dan estetik oleh Dr. Che Shiwei dari China, selain sesi perbincangan dan soal jawab interaktif yang membuka ruang pertukaran pandangan antara pakar pergigian, ahli akademik dan peserta.


Penganjuran simposium ini diharap dapat membuka peluang kerjasama antara universiti dan industri dalam penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran serta pembangunan kepakaran implantologi, di samping menggalakkan amalan klinikal berasaskan bukti.
Sumber Laporan dan Foto: Dr. Noor Huda Ismail dan Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang
- Created on .
- Hits: 104