Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM PERKENAL DASAR BAHARU CPD 2026, WAJIB 40 MATA SETAHUN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Februari 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan Sesi 'Town Hall' Dasar Baharu Pengumpulan Mata 'Continuing Professional Development' (CPD) 2026 di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Dasar baharu itu mewajibkan semua staf mengumpul minimum 40 mata CPD atau bersamaan 40 jam latihan setahun, melibatkan kategori Pengurusan Tertinggi, Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana.

Pelaksanaannya selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam Versi 1.0 (2024) yang berkuat kuasa 1 September 2025, sebagai usaha memperkukuh pembangunan bakat dan kompetensi warga kerja universiti.

Pengarah Pusat Transformasi Insan (PTi) USM, Nurul Izzati Rozali menerangkan bahawa dasar tersebut menjadi platform berstruktur untuk memastikan setiap staf terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan kompetensi selaras dengan keperluan semasa perkhidmatan awam.

 

Melalui penglibatan aktif dalam program latihan dan pembangunan, staf akan lebih bersedia, berdaya saing serta mampu menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti.

‘Town hall' ini merupakan sebahagian daripada siri penerangan dasar yang dilaksanakan di semua kampus USM bagi memastikan pemahaman menyeluruh dalam kalangan warga universiti serta turut disiarkan secara langsung melalui platform 'Webex' dan media sosial 'Facebook' PTi yang disertai lebih 1,000 staf Kampus Kesihatan USM.

Hadir sama dalam 'town hall' tersebut ialah Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin; Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad; Timbalan Pendaftar Bahagian Sumber Manusia, Sarina Razak dan ketua-ketua jabatan.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 240