USM PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK BERSAMA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Oktober 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh hubungan strategik bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi lawatan kerja yang melibatkan seramai 17 orang delegasi daripada Perkhidmatan Kesihatan ATM ke Kampus Kesihatan USM, semalam.

Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Dato' Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh itu disambut oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Lawatan kerja ini menjadi wadah bagi memperkukuh hubungan strategik antara USM dan ATM, di samping membuka ruang kepada perkongsian pandangan, kepakaran serta penerokaan bidang kesihatan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan masyarakat amnya.


Delegasi turut membincangkan secara menyeluruh penglibatan staf dalam 12 Kompeni Ubat Askar Wataniah di Kampus Kesihatan, khususnya mengambil kira perancangan ATM untuk melaksanakan penambahbaikan dalam sektor perkhidmatan kesihatan ATM tidak lama lagi.


Penglibatan staf berkenaan akan disusun berdasarkan kepakaran yang dimiliki, selain diperkemas mengikut hierarki perjawatan hakiki staf bagi memastikan peranan dan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.

Sehubungan itu, keperluan penglibatan kepakaran daripada USM, khususnya Hospital Pakar USM (HPUSM), turut diberi perhatian bagi menyokong aspek kepakaran, latihan dan pengukuhan keupayaan perkhidmatan kesihatan ATM. Dalam hal ini, cadangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak turut diketengahkan sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh kerjasama serta mewujudkan manfaat bersama.

Kerjasama erat antara USM dan ATM ini diyakini dapat menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan, mengoptimumkan perkongsian kepakaran dan sumber serta membina keupayaan bersama yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan.

Melalui jalinan kepakaran dan kerjasama strategik ini, kedua-dua pihak komited untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan dan kepentingan negara.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Markas ATM Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Brigedier Jeneral Dr. Faizal Baharudin; Penasihat Undang-Undang USM, Dato' Dr. Khairul Anuar Che Azmi dan Ketua Pengarah Kesihatan Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Brigedier Jeneral Dato' Dr. Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 151