USM PERKUKUH JARINGAN KEPAKARAN ANTARABANGSA MENERUSI TOT-BR 2026
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan kepakaran antarabangsa dalam bidang rehabilitasi vestibular menerusi penganjuran ‘Training of Trainers – Balance Rehabilitation’ (TOT-BR) 2026 (Modul Teori dalam Talian) yang menghimpunkan pakar serta profesional kesihatan dari Malaysia, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat, pada 22 Julai lalu.

Program anjuran Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dengan kerjasama Pusat Rawatan Pening dan Gangguan Keseimbangan itu bertujuan meningkatkan kompetensi profesional kesihatan, memperluas amalan klinikal berasaskan bukti serta melahirkan jurulatih yang berkeupayaan membangunkan perkhidmatan rehabilitasi vestibular di institusi masing-masing.

Program ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Program TOT-BR 2026, Profesor Madya Dr. Zuraida Zainun dan perasmian disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail, yang menekankan peranan USM dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, inovasi klinikal serta jaringan kerjasama global dalam bidang sains kesihatan. Turut menyampaikan ucapan ialah Ketua Jabatan Otorinolaringologi (ENT), Al Nahdha Hospital, Oman merangkap Presiden Oman ENT Society, Dr. Janan Al Abduwani, yang menegaskan kepentingan kerjasama rentas negara dalam memperkasa pendidikan profesional, penyelidikan translasi dan penyampaian perkhidmatan klinikal berkualiti tinggi dalam bidang vestibular.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti siri syarahan ilmiah yang disampaikan oleh pakar dari USM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Al Nahdha Hospital Oman, institusi kesihatan di UAE serta Harvard Medical School, Amerika Syarikat meliputi perkembangan terkini dalam diagnostik, pengurusan dan rehabilitasi gangguan vestibular berasaskan bukti.


Program yang dijalankan secara dalam talian menerusi platform Webex itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan doktor pakar, pegawai perubatan, ahli fisioterapi, ahli audiologi, ahli terapi cara kerja, jururawat serta profesional kesihatan bersekutu dari pelbagai institusi, sekali gus mengukuhkan peranan USM sebagai peneraju dalam pembangunan kepakaran dan kolaborasi antarabangsa dalam bidang rehabilitasi vestibular.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Muhammad Azli Omizi
- Created on .
- Hits: 145