USM SANTUNI KOMUNITI PESISIR PANTAI MELALUI PROGRAM KESIHATAN BERSEPADU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Oktober 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) terus komited meningkatkan kesejahteraan komuniti pesisir pantai melalui Program Jangkauan Kesihatan: Komuniti Pesisir Pantai Sejahtera dan Tersenyum pada 10 Oktober lalu.

Program yang berlangsung di Masjid Mukim Che Latif, Kuala Besar, Kota Bharu itu dilaksanakan di bawah peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin MADANI, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), dengan penyertaan lebih 100 penduduk setempat.

Program ini memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran kesihatan, khususnya berkaitan penjagaan kesihatan pergigian, kesihatan umum, pemakanan sihat serta kesejahteraan sosial bagi membantu penduduk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.


Antara pencapaian utama program ialah latihan kepada lima (5) wakil komuniti menerusi pendekatan ‘Training of Trainers’ (TOT) bagi membolehkan mereka berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dengan masyarakat setempat secara berterusan.

Pelaksanaan program ini turut menyokong usaha USM memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat melalui pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti komuniti, selaras dengan aspirasi KPT Prihatin MADANI dan pendekatan ‘University for Society’.


Menerusi inisiatif seumpama ini, USM berharap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dapat dipertingkatkan bagi membentuk komuniti pesisir pantai yang lebih sihat dan sejahtera.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Norma Ab Rahman
- Created on .
- Hits: 97