USM SANTUNI KOMUNITI TERPINGGIR MELALUI INISIATIF HOLISTIK MINDA ASLI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 September 2025 – Program Minda Asli yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak telah menjadi bukti nyata bagaimana kepakaran akademik, pendekatan saintifik dan nilai kemanusiaan dapat digabungkan dalam satu kerangka holistik untuk menyantuni komuniti terpinggir.

Dengan sokongan dana di bawah Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani, inisiatif berimpak tinggi ini memberi fokus kepada memperkasakan kebolehan kognitif kanak-kanak Orang Asli, sekali gus membuktikan bahawa pengesanan awal potensi intelektual mampu menjadi pemangkin transformasi pendidikan dan sosial.

Sepanjang tiga (3) hari pelaksanaan bermula 27 hingga 29 Ogos lalu, pasukan multidisiplin yang terdiri daripada penyelidik dan sukarelawan Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Hospital Pakar USM, serta Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) USM telah berjaya menjalankan saringan kebolehan kognitif melibatkan 54 orang kanak-kanak Orang Asli berumur antara 10 hingga 12 tahun.

Program ini bukan sahaja berjaya mengenal pasti profil kognitif unik anak-anak Orang Asli, malah turut mengesan beberapa kes yang berpotensi mengalami kelewatan perkembangan kognitif atau isu pembelajaran. Penemuan ini penting kerana ia menyediakan data asas yang boleh menjadi panduan untuk merangka intervensi khusus yang lebih tepat dan berkesan pada masa hadapan.

Selain saringan, program Minda Asli turut menekankan elemen pendidikan komuniti melalui sesi perkongsian ilmu bersama guru-guru serta penyediaan bahan pendidikan berbentuk poster dan modul. Fokus utama adalah memperkenalkan strategi pedagogi yang inklusif, adaptif dan mesra budaya, yang diyakini dapat memperkukuh kualiti pengajaran harian serta memupuk kefahaman yang lebih mendalam terhadap keperluan unik anak-anak Orang Asli.
Selain itu, program ini juga berjaya membina jaringan strategik yang kukuh antara universiti, institusi pendidikan, agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan komuniti setempat. Jalinan ini penting bukan sahaja untuk memastikan kelestarian intervensi jangka panjang, tetapi juga berpotensi menjadi model perintis dalam usaha pembangunan komuniti luar bandar di Malaysia.
Secara keseluruhannya, program Minda Asli bukan sekadar sebuah projek saringan kesihatan, tetapi merupakan manifestasi sebenar nilai keterangkuman, kecaknaan dan kolaborasi pelbagai disiplin. Inisiatif ini membuka ruang harapan baharu untuk anak-anak Orang Asli dengan memberikan mereka peluang pendidikan yang lebih adil dan masa depan yang lebih cerah.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Tee Get Bee @ Yvonne
- Created on .
- Hits: 219