USM SERAH HARTA LUQATAH KEPADA MAIK, PERKUKUH TADBIR URUS DAN PEMATUHAN SYARIAH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya terhadap tadbir urus berintegriti dan pematuhan syariah menerusi Majlis Penyerahan Harta Luqatah kali kedua kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang berlangsung di Kampus Kesihatan USM, semalam.

Majlis tersebut menyaksikan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail menyerahkan harta luqatah kepada Pegawai Baitulmal MAIK, Ustaz Nik Mohd Afif Azhan Nik Mohd Naidi, sebagai simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam memastikan pengurusan harta yang dijumpai dilaksanakan secara telus, sistematik dan menepati kehendak syarak.

Harta luqatah yang diserahkan terdiri daripada wang tunai, barang kemas, telefon bimbit, jam tangan, dokumen penting serta pelbagai barangan berharga lain yang ditemui di sekitar Kampus Kesihatan USM dan Hospital Pakar USM (HPUSM), namun tidak berjaya dikenal pasti pemiliknya atau tidak dituntut selepas melalui proses penyimpanan dan hebahan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Penyerahan kali kedua ini membuktikan kesungguhan USM dalam memastikan setiap amanah yang berada di bawah tanggungjawab universiti diurus secara profesional, berintegriti dan mematuhi prinsip syariah.
Inisiatif ini turut menyokong agenda kelestarian universiti melalui pemeliharaan hak masyarakat, pengukuhan tadbir urus yang baik serta pembinaan komuniti yang lebih selamat, inklusif dan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) 11: Bandar dan Komuniti Mampan.

Selain itu, pelaksanaan pengurusan harta luqatah secara telus, berakauntabiliti dan berlandaskan peraturan yang ditetapkan mencerminkan komitmen USM terhadap SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh, melalui pemerkasaan institusi yang berintegriti, berkesan dan dipercayai oleh masyarakat.
Kerjasama erat antara USM dan MAIK dalam menguruskan harta luqatah ini juga memperlihatkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh jaringan strategik demi kepentingan masyarakat, sejajar dengan SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat, yang menekankan kepentingan kolaborasi antara institusi bagi menghasilkan impak yang mampan.
Melalui kerjasama ini, MAIK akan menguruskan harta luqatah berkenaan mengikut peruntukan yang berkuat kuasa, termasuk melaksanakan hebahan bagi memberi peluang kepada pemilik sebenar membuat tuntutan. Sekiranya tiada tuntutan diterima selepas tempoh yang ditetapkan, harta tersebut akan diuruskan mengikut prosedur MAIK, termasuk melalui proses pelupusan secara lelongan, manakala hasilnya akan disalurkan ke Baitulmal untuk dimanfaatkan bagi kebajikan dan pembangunan umat Islam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kesihatan USM, Amira Abd Satar @ Ismail; Timbalan Pengarah Keselamatan, Jabatan Keselamatan, Kampus Kesihatan USM, Eady Othman dan Penolong Penasihat Undang- Undang, Kampus Kesihatan USM, Wan Amier Firdaus Wan Mohd Azaman @ Mohd Azman.
Sumber Laporan & Foto: Muhammad Adli Rozak
- Created on .
- Hits: 177