Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM TERIMA LAWATAN ADVANCE-ID NUS BAGI MANTAPKAN PELAKSANAAN KAJIAN TREAT-GNB

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) bersama Hospital Pakar USM (HPUSM) terus memperluas jaringan penyelidikan klinikal antarabangsa melalui kerjasama dengan Advancing Clinical Evidence in Infectious Diseases (ADVANCE-ID), National University of Singapore (NUS) dalam pelaksanaan kajian ‘Optimising TREATment for Severe Gram-Negative Bacterial Infections (TREAT-GNB)’.

Kerjasama tersebut diperkukuhkan menerusi lawatan rasmi delegasi ADVANCE-ID ke USM pada 29 Julai lalu bertujuan membincangkan pelaksanaan kajian TREAT-GNB di Malaysia, menilai kesiapsiagaan HPUSM sebagai salah sebuah pusat kajian, di samping berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan penyelidikan klinikal.

Delegasi ADVANCE-ID yang diketuai oleh Pengarah, Dr. Mo Yin telah disambut oleh Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) PPSP USM, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak serta Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, PPSP USM merangkap Penyelidik Utama (Principal Investigator) Kajian TREAT-GNB di HPUSM, Profesor Madya Dr. Mohd Zulfakar Mazlan.

Delegasi ADVANCE-ID diberi taklimat pengenalan mengenai HPUSM dan PPSP sebelum diteruskan dengan pembentangan mengenai pasukan multidisiplin yang terlibat dalam pelaksanaan kajian TREAT-GNB melibatkan kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit, mikrobiologi, rawatan rapi, farmasi dan penyelidikan klinikal.

Selain itu, delegasi ADVANCE-ID turut memperkenalkan organisasi mereka serta berkongsi perkembangan terkini pelaksanaan kajian TREAT-GNB di negara-negara yang mengambil bahagian, sekali gus membuka ruang kepada pertukaran pengalaman dan amalan terbaik bagi memperkukuh pelaksanaan kajian di HPUSM.

Sesi perbincangan seterusnya memberi tumpuan kepada pelaksanaan kajian TREAT-GNB di HPUSM, termasuk proses saringan dan perekrutan peserta, pengurusan spesimen klinikal, penyelarasan antara jabatan, pemantauan kajian serta pematuhan kepada protokol kajian dan Amalan Klinikal Baik (Good Clinical Practice, GCP).

Delegasi kemudiannya dibawa melawat beberapa fasiliti utama hospital termasuk Unit Kajian Klinikal, Makmal Mikrobiologi, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Jabatan Farmasi bagi meninjau kemudahan penyelidikan klinikal, proses pengendalian spesimen mikrobiologi, pengurusan produk kajian serta infrastruktur yang menyokong pelaksanaan penyelidikan klinikal di HPUSM.

Lawatan ini mencerminkan komitmen USM dalam memperkukuh kerjasama penyelidikan klinikal di peringkat antarabangsa, sekali gus menyokong pembangunan penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada penambahbaikan rawatan pesakit serta penghasilan bukti saintifik dalam pengurusan jangkitan bakteria Gram-negatif yang teruk.

Turut hadir menyantuni delegasi lawatan ialah Pengarah Eksekutif Usains Healthcare Sdn. Bhd., Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim.

Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Mohd Zulfakar Mazlan

  • Created on .
  • Hits: 216