USM TERUS PERLUAS KESEDARAN DAN SARINGAN KANSER PAYUDARA
KOTA BHARU, KELANTAN, 19 Ogos 2026 – Kesedaran terhadap perubahan pada payudara serta pengesanan awal merupakan langkah penting dalam meningkatkan peluang rawatan dan pemulihan pesakit kanser payudara.

Menyedari hakikat tersebut, Unit BestARi (Breast Cancer Awareness and Research), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan Program Saringan Kanser Payudara kepada warga Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada 16 Ogos lalu.

Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan warga MPKB-BRI mengenai kanser payudara, di samping menggalakkan mereka menjalani saringan dan mendapatkan rawatan sewajarnya.

Selain menyediakan perkhidmatan saringan oleh pasukan BestARi dan Radiologi, program ini turut menekankan aspek pendidikan kesihatan menerusi dua (2) sesi ceramah. Ceramah pertama bertajuk ‘Bersama Melawan Kanser: Rasa, Respon, Rawat' (3R) telah disampaikan oleh Pensyarah Perubatan, Jabatan Radiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Dr. Lau Chiew Chea, manakala ceramah kedua bertajuk ‘Kanser Payudara: Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Imbasan dan Rawatan Moden?’ disampaikan oleh Pensyarah Perubatan Nuklear, Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi, PPSP USM, Dr. Norazlina Mat Nawi.

Kedua-dua ceramah tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai perubahan yang perlu diberi perhatian, kepentingan pemeriksaan awal serta peranan teknologi pengimejan dan rawatan moden dalam pengurusan kanser payudara.

Program ini turut menyediakan pemeriksaan ultrabunyi dua dimensi (2D) kepada peserta yang mempunyai penemuan semasa saringan, selain sesi konsultasi bagi memberikan nasihat berkaitan kesihatan payudara.

Penganjuran program seumpama ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam mendekati komuniti melalui pendidikan kesihatan, saringan dan konsultasi, sekali gus menggalakkan masyarakat mengambil tindakan awal sekiranya terdapat perubahan yang mencurigakan pada payudara.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Lee Lih Shin
- Created on .
- Hits: 120