USM TERUS PRIHATIN KEBAJIKAN PELAJAR, PPSP TERIMA TAJAAN ‘FOOD BANK’
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Disember 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sumbangan tajaan bagi ‘Food Bank’ Pelajar B40 melibatkan tiga pihak penyumbang dengan jumlah keseluruhan RM4,700 dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Ruang Legar Pejabat Mobiliti PPSP pada 15 Disember lalu.

Simbolik penyerahan replika cek sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengarah Ko-Kurikulum Kampus Kesihatan, Profesor Madya Dr. Ismail Ibrahim, wakil Alumni Doktor Perubatan USM ‘Batch’ 13 dan wakil syarikat MSH Armada Group kepada Dekan PPSP, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin. Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail bersama barisan exco Dekan PPSP.

Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar B40 PPSP dalam meringankan beban kos sara hidup harian, khususnya keperluan makanan.

Pengurusan Kampus Kesihatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang atas keprihatinan serta sokongan berterusan terhadap kebajikan pelajar, selaras dengan komitmen USM sebagai universiti APEX yang menitikberatkan kesejahteraan warga pelajarnya.

Dalam majlis yang sama turut diadakan Perasmian Ruang Legar Pejabat Mobiliti PPSP yang baharu bagi mencerminkan usaha berterusan PPSP dalam memperkukuh kemudahan sokongan serta persekitaran kerja yang kondusif bagi warga PPSP dan pelajar antarabangsa.

Sumber Laporan & Foto: Nor Farhana Basyireen Mohd Asheri
- Created on .
- Hits: 249