Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM TINGKAT KECEKAPAN PETUGAS KESIHATAN HADAPI KECEMASAN PSIKIATRI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Februari 2026 – Bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran petugas kesihatan dalam menilai dan mengurus pesakit agresif, Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif melaksanakan ‘Training Course PROTECT’ (Patient Related Occupational Threat and Escalation Control Training) pada 5 Februari lalu.

Latihan ini juga bertujuan memberi kesediaan atau kesiapsiagaan kepada petugas kesihatan dalam menghadapi situasi kecemasan psikiatri yang berisiko selain mengurangkan impak fizikal dan psikologi terhadap petugas yang terlibat dalam pengendalian kes agresif.

Selain itu, latihan yang disertai 80 orang peserta terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat dan paramedik ini juga bertujuan membina kesiapsiagaan petugas kesihatan agar lebih yakin dan kompeten dalam menghadapi situasi agresif yang berisiko tinggi.

Pelaksanaan latihan ini selari dengan objektif Hospital Pakar USM (HPUSM) yang mengutamakan keselamatan pesakit dan petugas kesihatan.

Ini juga selari dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menekan pendekatan pengurusan pesakit yang selamat dengan memfokuskan kepada penilaian risiko, teknik penyah-eskalasi, pemilihan ubatan serta perlindungan keselamatan petugas dan pesakit psikiatri secara khasnya.

Latihan PROTECT ini juga dilihat menyokong kelestarian latihan berterusan melalui pembangunan fasilitator dalaman dari Jabatan Psikiatri. Selain itu, ia menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan persekitaran kerja yang selamat, profesional dan mampan.

Hadir merasmikan latihan ini ialah Ketua Jabatan, Jabatan Psikiatri, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Maruzairi Husain.

Sumber Laporan & Foto: Saufiah Salleh

  • Created on .
  • Hits: 278