USM TINGKATKAN KOMPETENSI PETUGAS KESIHATAN DALAM PENJAGAAN TRAKEOSTOMI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Oktober 2026 – Penguasaan kemahiran dalam pengurusan dan penjagaan trakeostomi penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang selamat dan berkualiti, sekali gus mendorong Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan usaha meningkatkan kompetensi petugas kesihatan menerusi latihan klinikal berterusan.

Menyedari hakikat itu, ‘Tracheostomy Task Force Team’, Jabatan Otorinolaringologi–Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Hospital Pakar USM (HPUSM) telah menganjurkan ‘USM Tracheostomy Workshop 2026’ pada 4 Oktober lalu di Auditorium Dato’ Zaidun Kamari, HPUSM.

Bengkel sehari itu disertai 112 petugas kesihatan, termasuk jururawat, penolong pegawai perubatan dan pegawai perubatan dari HPUSM, hospital kerajaan serta klinik kesihatan berhampiran.

Pengisian bengkel merangkumi ceramah dan latihan praktikal menggunakan manikin yang membolehkan peserta mengikuti demonstrasi fasilitator serta mempraktikkan teknik penjagaan trakeostomi secara langsung.

Pendekatan teori dan praktikal ini memberi pendedahan kepada peserta tentang kaedah pengurusan trakeostomi, di samping membantu meningkatkan pemahaman dan keyakinan mereka dalam melaksanakan penjagaan pesakit di persekitaran klinikal.

Peserta turut mendapat maklumat mengenai pelbagai jenis tiub trakeostomi yang terdapat di pasaran menerusi reruai pameran oleh pengeluar peralatan berkenaan.


Bengkel tersebut dirasmikan oleh Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani. Turut hadir ialah Ketua Jabatan ORL-HNS, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Ramiza Ramza Ramli.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen USM dalam menyokong pembangunan profesional petugas kesihatan melalui pembelajaran dan latihan klinikal berterusan, sekali gus membantu memastikan amalan penjagaan pesakit dilaksanakan dengan lebih selamat, berkesan dan berkualiti.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Sarah Shafwan
- Created on .
- Hits: 117