USM – UNAIR SEMAI BUDAYA PENDERMAAN DARAH MENERUSI PROGRAM ANTARABANGSA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Julai 2026 – Sebagai usaha meningkatkan penyertaan penderma darah dalam kalangan golongan muda serta melahirkan duta pendermaan darah dalam kalangan belia, Jabatan Hematologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia telah menganjurkan ‘International Community Blood Donation Programme: A 2026 USM–UNAIR Collaborative Initiative’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, Jeli pada 26 Julai lalu.

Program yang menghimpunkan seramai 240 pelajar tingkatan enam (6) itu bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan pendermaan darah dan menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti pendermaan darah bagi membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

Delegasi UNAIR yang diketuai oleh Profesor Dr. Yetti Hernaningsih bersama pensyarah dan lapan (8) pelajar Sarjana Patologi turut menyertai program tersebut, selain Pensyarah Perubatan Hematologi PPSP USM, Profesor Madya Dr. Mohd. Nazri Hassan dan Dr. Nur Ilyia Syazwani Saidin.


Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti sesi pendidikan pendermaan darah, pendaftaran dan saringan penderma, proses pendermaan darah serta kaunseling kepada peserta yang tidak memenuhi syarat kelayakan menderma. Delegasi UNAIR turut mengendalikan sesi interaktif berkaitan produk darah dan mini kuiz bagi meningkatkan pengetahuan para pelajar.


Hasil pelaksanaan program ini, sebanyak 79 beg darah berjaya dikumpulkan. Pencapaian ini menunjukkan permulaan sambutan yang amat baik daripada komuniti belia.


Penganjuran program ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan bekalan darah, malah memperkukuh hubungan kerjasama antara USM dan UNAIR dalam bidang perubatan transfusi serta memperluaskan pemindahan ilmu dan pengalaman di peringkat antarabangsa.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Nur Ilyia Syazwani Saidin
- Created on .
- Hits: 170