WARGA HPUSM BERSIHKAN PANTAI GETING, SEMAI SEMANGAT KELESTARIAN ALAM SEKITAR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 September 2026 – Sebagai usaha menyemai kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar, seramai 100 warga Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menyertai Program Hospital Pakar USM Beach Cleanup 2026 di Pantai Geting, Tumpat pada 24 September lalu.

Program anjuran Jawatankuasa Kelestarian HPUSM itu diadakan bersempena dengan ‘International Coastal Cleanup’, iaitu inisiatif global yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran serta penglibatan masyarakat dalam pemeliharaan kawasan pesisir pantai.

Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud.

Sepanjang program berlangsung, para peserta bergotong-royong membersihkan kawasan pesisir pantai melalui aktiviti mengutip sampah, di samping melakukan aktiviti berjalan dan berjoging sambil membantu menjaga kebersihan persekitaran.

Penglibatan warga HPUSM dalam aktiviti tersebut turut menyemai semangat kesukarelawanan, kerjasama berpasukan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan staf, selain menyumbang kepada usaha pemeliharaan ekosistem marin.


Penganjuran program ini mencerminkan komitmen HPUSM dalam menyokong usaha kelestarian alam sekitar menerusi penglibatan warga hospital dalam aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Sumber Laporan & Foto: Noor ‘Alyaa Mohd Amin
- Created on .
- Hits: 108