WIBAWA KAMPUS KESIHATAN PACU INISIATIF COMPASSION USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Oktober 2026 – Pelaksanaan bengkel WIBAWA di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 6 dan 7 Oktober lalu menjadi platform memperkukuh keupayaan warga universiti dalam merancang dan melaksanakan projek libatsama komuniti yang lebih berimpak dan berteraskan bukti.

Bengkel anjuran Centre for Development of Academic Excellence (CDAE) dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM itu memberi tumpuan kepada dua (2) modul utama, iaitu ‘The Beginner’s Guide to Community Grants – Designing Your First High-Impact Project’ dan ‘From Stakeholders to Impact – Designing Effective Community Projects’.

Pendekatan yang diketengahkan menerusi bengkel tersebut diharap dapat membantu Pusat Tanggungjawab (PTJ) merancang projek komuniti secara lebih tersusun selain menyepadukan pelbagai inisiatif di bawah ‘Community Program for Sustainable Impact Mission’ (COMPASSION).
COMPASSION menjadi platform strategik universiti dalam menyelaras usaha libatsama komuniti supaya pelaksanaannya lebih sistematik, inklusif dan berupaya menghasilkan impak yang boleh diukur.

Dalam bengkel yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Jaringan Masyarakat, BJIM USM, Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak itu, para peserta turut diperkenalkan kepada ‘COMPASSION Playbook’ (E-Book) sebagai panduan kepada ketua projek dalam merancang, mengurus dan melaksanakan projek komuniti secara lebih berkesan.

Pendekatan tersebut turut menekankan pelaporan berteraskan bukti (evidence-based), penglibatan pemegang taruh melalui pendekatan ‘co-creation’ serta penerapan nilai empati, kolaborasi dan inovasi dalam pelaksanaan projek libatsama komuniti dan ‘Service-Learning Malaysia-University for Society ‘(SULAM).

Usaha tersebut mencerminkan komitmen USM dalam menggembleng kepakaran akademik dan penyelidikan untuk diterjemahkan kepada impak yang lebih bermakna demi kesejahteraan masyarakat, selaras dengan agenda APEX USM dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Sumber Laporan & Foto: Mohamad Shamir Rifqi Rosma’ain
- Created on .
- Hits: 95