Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘1ST USM ORL-HNS RADIOLOGY MASTERCLASS’ TINGKAT KECEKAPAN INTERPRETASI IMEJ RADIOLOGI KEPALA DAN LEHER

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Ogos 2026 – Kursus ‘1st USM ORL-HNS Radiology Masterclass’ bertemakan ‘From Scan to Scalpel’ dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan, keyakinan dan kompetensi peserta dalam interpretasi imej radiologi kepala dan leher untuk membantu ketepatan diagnosis, perancangan pembedahan serta pengurusan pesakit dalam bidang Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS).

Kursus anjuran Jabatan ORL-HNS dengan kerjasama Jabatan Radiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) itu telah berlangsung pada 16 Ogos lalu di Auditorium Trauma, Jabatan Perubatan Kecemasan, Kampus Kesihatan USM.

Kursus yang menghimpunkan seramai 100 peserta dari Malaysia dan Indonesia yang terdiri daripada pelajar sarjana serta pegawai perubatan daripada Jabatan ORL-HNS, Radiologi, Perubatan Kecemasan dan Perubatan Keluarga itu telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan, Jabatan ORL-HNS, Profesor Dr. Ramiza Ramza Ramli yang mewakili Dekan PPSP USM.

Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti siri syarahan teknikal yang disampaikan oleh pakar radiologi USM meliputi pengimejan tulang temporal (Temporal Bone), kawasan sinus dan dasar tengkorak (Sinonasal and Skull Base), rongga mulut, farinks, larinks dan salur udara (Oral Cavity, Pharynx, Larynx and Airway), serta analisis imej leher, nodus limfa dan kelenjar air liur (Neck, Nodal and Salivary Gland).

Kursus ini turut menampilkan sesi 'Lunch Talk' mengenai Protokol Pembedahan Berpandukan Imej (IGS) dalam Bidang Rinologi dan Pembedahan Dasar Tengkorak yang disampaikan oleh wakil syarikat Medtronic, sekali gus memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan teknologi pengimejan dalam perancangan dan pelaksanaan pembedahan.

‘Masterclass’ itu diakhiri dengan sesi lisan (viva) pelajar sarjana tahun akhir ORL-HNS yang membincangkan kes-kes klinikal sebenar di hadapan barisan pemeriksa dan pakar ORL-HNS, iaitu Profesor Dr. Norhafiza Mat Lazim, Profesor Madya Dr. Nik Adilah Nik Othman dan Profesor Madya Dr. Norasnieda Md Shukri.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Norsyamira Aida Mohamad Umbaik

  • Created on .
  • Hits: 67