‘2ND FALL PREVENTION WORKSHOP’ TINGKAT KOMPETENSI PETUGAS KESIHATAN CEGAH KEJADIAN JATUH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Ogos 2026 – Usaha meningkatkan kompetensi kendiri petugas kesihatan dalam pengurusan keselamatan pesakit di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menjadi antara fokus utama penganjuran ‘2nd Fall Prevention Workshop’ pada 17 Ogos lalu.

Bengkel ini merupakan kesinambungan usaha membudayakan keselamatan pesakit, khususnya dalam aspek pencegahan kejadian jatuh di fasiliti kesihatan, di samping memberi pendedahan kepada para peserta mengenai kaedah mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko jatuh dalam kalangan pesakit.

Bengkel berkenaan turut memberi peluang kepada peserta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam merancang serta melaksanakan intervensi pencegahan jatuh secara sistematik, bersepadu dan berfokuskan keperluan pesakit.

Pencegahan kejadian jatuh bukan hanya menjadi tanggungjawab satu disiplin, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai disiplin termasuk jururawat, pegawai perubatan, ahli terapi cara kerja, fisioterapis, pegawai farmasi, keluarga dan anggota pasukan penjagaan kesihatan yang lain.


Pendekatan secara kolaboratif penting bagi memastikan faktor risiko dapat dikenal pasti lebih awal dan intervensi bersesuaian dapat dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kecederaan serta komplikasi akibat kejadian jatuh.


Bengkel tersebut turut mendapat penyertaan daripada institusi luar HPUSM, antaranya Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Hospital Pasir Mas, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) dan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK). Hadir merasmikan bengkel ini ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani.

Penganjuran bengkel ini diharap dapat menyumbang kepada peningkatan keupayaan petugas kesihatan dalam melaksanakan amalan pencegahan kejadian jatuh secara konsisten, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih selamat dan berkualiti kepada pesakit.
Sumber Laporan dan Foto: Salmiza Ghazali
- Created on .
- Hits: 146