Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘AUDIOLOGY INTENSIVE COURSE’ 2026 TINGKAT ILMU, PERSEDIAAN PELAJAR ORL-HNS

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 September 2026 – Seramai 48 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara menyertai ‘Audiology Intensive Course’ 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Otorinolaringologi – Surgeri Kepala & Leher (ORL-HNS), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM dan Unit Audiologi, Hospital Pakar USM (HPUSM) pada 14 dan 15 September lalu.

Penganjuran kursus ini bertujuan memberikan kefahaman berkaitan asas dan perkembangan terkini dalam bidang audiologi klinikal, selain merungkai persoalan berkaitan teori dan aplikasi klinikal serta mempersiapkan pelajar pascasiswazah bagi menghadapi peperiksaan tahun akhir kepakaran ORL-HNS.

Penyertaan peserta daripada pelbagai institusi, termasuk Universitas Sebelas Maret, Solo, Indonesia, turut menyediakan ruang untuk perkongsian pengalaman, pertukaran pandangan dan pembinaan jaringan profesional dalam bidang audiologi dan ORL-HNS.

Antara pengisian kursus ialah ‘Fundamentals of Acoustic and Hearing’, ‘Impedance Audiometry’, ‘Pediatric Hearing Assessments’, ‘Auditory Brainstem Response’ dan ‘Audiometry Special Tests’, selain demonstrasi secara langsung serta sesi latihan lisan viva klinikal pelajar tahun akhir pascasiswazah ORL-HNS bersama pakar bidang berkenaan.

Sesi ‘Lunch Talk’ turut diadakan dengan menampilkan perkongsian daripada HearLife Company berkaitan pengurusan masalah pendengaran menerusi tajuk ‘From Diagnosis to Solution: Managing Hearing Loss’, manakala Dr Hearing and Speech Center membawakan topik ‘Unlocking the Future of Hearing with Nexa Innovation’.

Penganjuran ‘Audiology Intensive Course’ 2026 mencerminkan komitmen USM dalam menyediakan platform latihan dan perkongsian kepakaran yang menyokong pembangunan profesional kesihatan serta peningkatan mutu perkhidmatan klinikal kepada masyarakat.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Hamizah Ismail

  • Created on .
  • Hits: 160