Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘COMMUNITY PLOGGING AND CLEAN-UP’ 2026 GALAK GAYA HIDUP SIHAT, KELESTARIAN ALAM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 September 2026 – Jabatan Surgeri Plastik dan Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) terus menyokong usaha kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran ‘Community Plogging and Clean-Up’ 2026 di Pantai Senok, Bachok pada 16 September lalu.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Bachok itu menghimpunkan warga Unit Sains Rekonstruktif, kakitangan, pelajar PPSP serta komuniti setempat dalam aktiviti berjalan dan berjoging sambil mengutip sampah di sepanjang kawasan pantai.

Selain aktiviti pembersihan, peserta turut menanam pokok rhu sebagai usaha menyokong penghijauan dan pemuliharaan kawasan persisiran pantai, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

Sampah yang dikutip kemudiannya diasingkan dan ditimbang bagi tujuan rekod, sekali gus memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan pengurusan sisa dan kebersihan kawasan rekreasi.

Program tersebut turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal serta memupuk semangat kerjasama, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti dan komuniti.

Penganjuran ‘Community Plogging and Clean-Up’ 2026 mencerminkan komitmen USM dalam mengintegrasikan aspek kesihatan, khidmat komuniti dan kelestarian alam sekitar menerusi penglibatan warga universiti bersama masyarakat setempat.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Amirul Akram Ahmad Sukari

  • Created on .
  • Hits: 130