Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘EAST COAST INTERVENTIONAL PAIN WORKSHOP 2025’ TINGKAT ILMU RAWATAN KESAKITAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 September 2025 – Sebagai usaha memperkukuhkan ilmu pengetahuan serta kemahiran praktikal dalam bidang pengurusan kesakitan, khususnya melalui pendekatan intervensi yang semakin mendapat perhatian dalam amalan klinikal masa kini, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengambil inisiatif menganjurkan ‘East Coast Interventional Pain Workshop 2025’ pada 10 September lalu.

1000177271

1000177273

Bengkel ini diadakan bertujuan meningkatkan kefahaman peserta mengenai prinsip asas rawatan kesakitan kronik dan akut, di samping memberi pendedahan secara teori dan praktikal terhadap pelbagai teknik intervensi seperti ‘nerve block’, suntikan steroid dan suntikan ‘plasma rich platetet’ (PRP).

1000177275

Selain itu, ia juga bertujuan untuk membincangkan perkembangan terkini dalam bidang intervensi kesakitan, menggalakkan perkongsian pengalaman dan kepakaran antara pelbagai disiplin dan memupuk kerjasama berterusan antara institusi kesihatan, pakar serta pengamal perubatan dalam memperkasa bidang rawatan kesakitan di Malaysia.

1000177277

1000177279

Bengkel yang disertai oleh pakar perubatan, pengamal perubatan am, pensyarah, serta pelajar pascasiswazah ini diisi dengan slot syarahan daripada Pakar Perunding Bius dan Rawatan Kesakitan dari dalam dan luar USM serta sesi amali yang dikendalikan dengan kaedah ‘hands-on’. Ia memberi pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam serta meningkatkan keyakinan peserta untuk mengaplikasikan teknik-teknik tersebut dalam amalan klinikal sebenar.

1000177281

Penganjuran bengkel ini telah berjaya meningkatkan imej USM sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan latihan dalam bidang perubatan. Selain itu, ia turut membuka ruang kepada hubungan strategik bersama hospital, institusi kesihatan lain, serta industri berkaitan bagi memperkukuh jaringan kolaborasi dan berpotensi mencetuskan idea penyelidikan baharu dalam bidang pengurusan kesakitan, sekali gus menyumbang kepada penerbitan akademik dan inovasi perubatan pada masa hadapan.

1000177283

Semoga penganjuran bengkel seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar lebih ramai tenaga profesional mendapat manfaat, seterusnya meningkatkan mutu penjagaan kesihatan di negara ini.

Hadir merasmikan bengkel ini ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Ahmad Dzarrin Hanafi

  • Created on .
  • Hits: 195