‘FIT FOR LIFE’ 2024 BANTU TANGANI MASALAH OBESITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Disember 2024 – Sebagai usaha meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) telah menganjurkan program ‘Fit for Life’ 2024 di Dewan Dato’ Kadok pada 13 Disember lalu.
Program yang turut mendapat kerjasama daripada Program Sains Senaman dan Sukan, Program Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan Pusat Khidmat DUN Kadok itu antara lain bertujuan mengkaji keberkesanan latihan litar terhadap penurunan berat badan dan tekanan darah dalam kalangan peserta yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.
Pelaksanaan program ini dimulakan dengan sesi ‘Training of Trainers’ (ToT) berdasarkan modul pengurusan berat badan ‘Fit for Life’. Seramai lapan (8) orang pembimbing termasuk pegawai dietetik dan pensyarah dari USM telah dilatih untuk berkongsi ilmu dan melatih ‘trainers’ tempatan dari Klinik Kesihatan Perol untuk mengenal pasti peserta yang berminat.
Selain itu, latihan litar diperkenalkan pada sesi pertama dan peserta dikehendaki menjalani latihan tiga (3) kali seminggu selama tiga (3) bulan di bawah bimbingan ‘trainers’ tempatan. Pasukan USM kemudiannya akan melakukan sesi pemantauan pada minggu ke-6 dan minggu ke-12 berdasarkan modul yang diberikan kepada peserta termasuk modul pemakanan sihat, panduan pinggan suku-suku separuh dan cabaran langkah (step challenge).
Melalui pelaksanaan program ini, sebanyak 75 peratus (%) peserta berjaya menurunkan berat badan antara 0.5 hingga 9.4 kilogram (kg) sekaligus membuktikan keberkesanan program ini dalam menangani isu obesiti selain meningkatkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Wan Syaheedah Wan Ghazali
- Created on .
- Hits: 252