Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘HISTOLOGY MEETS HERITAGE’ GABUNGKAN SAINS DAN WARISAN BUDAYA SERUMPUN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Julai 2026 – Bagi mengintegrasikan konsep histologi sebagai sumber inspirasi dalam pembangunan motif batik dan songket di samping memperkukuh kolaborasi antara institusi pendidikan dengan komuniti, Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Libatsama Komuniti USM – Universitas Brawijaya (UB), Indonesia bertajuk ‘Histology Meets Heritage’: Integrasi Histologi dalam Wastra Batik dan Songket sebagai Penguatan Warisan Budaya Serumpun, pada 27 Julai lalu.

Program yang merupakan inisiatif kolaboratif antara pensyarah USM dan delegasi Fakultas Kedokteran UB ini melibatkan penyertaan pengusaha batik dan songket tempatan, pelukis batik, ahli akademia serta pelajar institusi pengajian tinggi tempatan antara lain bertujuan meningkatkan keupayaan penggiat industri kreatif menghasilkan reka bentuk berasaskan sains dalam usaha menghubungkan kepakaran sains dengan seni dan warisan budaya.

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan), PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud. Turut meluangkan masa menyantuni para peserta ialah Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada struktur visual mikroskopik seperti susunan sel, lapisan epitelium, gentian otot dan pola tisu biologi sebagai inspirasi dalam penghasilan motif batik dan songket. Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan termasuk pembentangan konsep, demonstrasi penghasilan lakaran motif, sesi praktikal serta perbincangan pembangunan prototaip motif tekstil berasaskan sains.

Hasil program menunjukkan bahawa peserta memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap pendekatan warisan berinspirasikan sains (science-inspired heritage) yang diketengahkan. Pendedahan kepada imej histologi juga membuka dimensi baharu dalam penghasilan motif yang lebih unik dan kontemporari. Selain itu, program ini turut berjaya mewujudkan jaringan kerjasama antara penyelidik histologi, pensyarah seni, pelajar dan penggiat industri kreatif tempatan bagi tujuan pembangunan reka bentuk serta penghasilan prototaip pada masa hadapan.

Penganjuran program ini berjaya membuka ruang kerjasama antara akademia, komuniti dan industri kreatif, sekali gus meningkatkan keterlihatan kepakaran USM dalam bidang histologi melalui pendekatan libatsama komuniti dan pengantarabangsaan.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Faizah Md Nawi

  • Created on .
  • Hits: 247