‘REHAB DAY’ 2025 ERATKAN JALINAN KERJASAMA MELALUI SUKAN ANTARA STAF PEMULIHAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Jun 2025 – Program ‘Rehab Day’ 2025 anjuran Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengeratkan jalinan kerjasama antara staf pemulihan dari pelbagai institusi kesihatan melalui acara sukan yang santai dan kompetitif.
Program yang berlangsung di Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Panji, Kota Bharu itu melibatkan perlawanan bola jaring, bola tampar kategori lelaki dan wanita, mendapat sokongan serta tajaan dari Duosports Inc. dan Hengary Burger.
Bagi perlawanan bola jaring, pasukan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dinobatkan sebagai juara mengalahkan HPUSM yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara dan Perak Wolverines di tempat ketiga. Bagi perlawanan bola tampar ketegori lelaki pula, Rehab Roars (USM) mengungguli perlawanan mengalahkan Pahang GPT sebagai naib juara dan Rehab HPUSM di tempat ketiga manakala bagi kategori wanita, juara menjadi milik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), naib juara milik Volleylicious dan tempat ketiga milik Boomers USM.
Acara sukan ini merupakan kemuncak hari kedua program ‘Rehab Day’ 2025 yang berlangsung selama dua (2) hari bermula 21 Jun yang turut merangkumi aktiviti seperti ‘fun walk’ serta ceramah kesihatan. Acara sukan ini disertai oleh para doktor pemulihan perubatan, jurupulih, pegawai pemulihan fisioterapi dan carakerja serta jururawat rehabilitasi dari negeri Perak, Kedah, Selangor, Pahang dan Kelantan termasuk penyertaan khas dari pasukan Rehabilitasi PPUM.
Penganjuran program ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga kerja dalam bidang pemulihan untuk berinteraksi secara santai, malah turut menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara institusi sekali gus menyokong aspirasi penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu.
Turut ditekankan dalam program ini ialah kepentingan gaya hidup sihat, semangat berpasukan dan sokongan moral dalam kalangan pasukan pemulihan sebagai tunjang kepada perkhidmatan kesihatan yang cemerlang.
Sumber Laporan & Foto: Fadzli Sajeli
- Created on .
- Hits: 84