‘SAWADEE SMILES’ USM TINGKAT KESEDARAN KESIHATAN ORAL KOMUNITI SIAM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 September 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Persatuan Sains Pergigian, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) melaksanakan program ‘Sawadee Smiles’ bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan oral dalam kalangan kanak-kanak, guru dan komuniti Siam Pasir Mas pada 19 September lalu.


Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna dan Sekolah Bahasa Thai Wat Uttamaram itu melibatkan aktiviti pendidikan kesihatan oral, ‘Training of Trainers’ (ToT), demonstrasi dan latihan memberus gigi, saringan pergigian serta aktiviti pendidikan interaktif.


Menerusi pendekatan ToT, guru dan pemimpin komuniti diberikan pengetahuan serta kemahiran untuk meneruskan pendidikan kesihatan oral kepada kanak-kanak secara berterusan, manakala saringan pergigian membantu mengenal pasti masalah oral pada peringkat awal serta memberikan panduan berkaitan rujukan dan tindakan susulan.


Program turut menampilkan pendekatan mampan melalui penyediaan ‘Wat-Based Toothbrushing Station’ yang dilengkapi sinki, mural bertemakan kesihatan oral dan dispenser air, selain modul pendidikan dwibahasa Bahasa Thai dan Bahasa Melayu serta kit penjagaan oral.


Pelaksanaan ‘Sawadee Smiles’ mendapat sokongan pendanaan daripada ‘My Starfish Foundation’ dan ‘Malaysian Social Entrepreneurs Foundation’ (MSEF) diharap dapat menyumbang kepada pembentukan amalan penjagaan kesihatan oral yang baik serta berterusan dalam kalangan kanak-kanak dan komuniti Siam setempat.
Sumber Laporan & Foto: Wan Nor Aziemah Wan Zainulddin
- Created on .
- Hits: 77