Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

‘SSSL FUN WALK’ 2025 TONJOL KEPENTINGAN PEMBEDAHAN SELAMAT DAN KESELAMATAN PESAKIT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Oktober 2025 – Bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan petugas kesihatan dan orang awam mengenai pentingnya amalan pembedahan yang selamat di samping mendekatkan komuniti dengan penjagaan kesihatan moden secara positif, Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dewan Bedah Hospital Pakar USM (HPUSM) telah menganjurkan program ‘Safe Surgery Saves Lives (SSSL) Fun Walk’ 2025 pada 18 Oktober lalu di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM.

1000190596

1000190598

Program yang mendapat kerjasama dari Persatuan Anestesiologi dan Rawatan Intensif Kelantan serta berjaya menarik penyertaaan kira-kira 300 peserta ini merupakan antara platform menyampaikan mesej kesedaran mengenai kepentingan budaya keselamatan pesakit dalam persekitaran hospital kerana keselamatan pesakit merupakan tanggungjawab bersama dan perlu diamalkan secara berterusan dalam setiap peringkat perkhidmatan kesihatan.

1000190600

1000190602

Penganjuran ‘SSSL Fun Walk’ 2025 turut memperkukuh komitmen HPUSM dalam melaksanakan ‘Surgical Safety Checklist’ (SSC) secara menyeluruh dan berdisiplin, selaras dengan amalan piawaian antarabangsa ‘World Health Organization’ (WHO). Ia juga menekankan pentingnya komunikasi berkesan, kerja berpasukan dan kepatuhan terhadap prosedur keselamatan bagi menjamin keselamatan pesakit sebelum, semasa dan selepas pembedahan.

1000190604

Selain memberi penekanan kepada aspek keselamatan klinikal, ‘SSSL Fun Walk’ 2025 turut berperanan dalam memupuk semangat perpaduan dan ukhuwah antara warga kampus kesihatan dan komuniti luar.

1000190606

Hadir merasmikan ‘SSSL Fun Walk’ 2025 ialah Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria.

Sumber Laporan & Foto: Nur Farhana Azman

  • Created on .
  • Hits: 227