‘BODY RESPECT’: HORMATI TUBUH, BINA KESIHATAN DAN KEYAKINAN DIRI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Oktober 2026 – Cara wanita menilai tubuh sendiri boleh dipengaruhi oleh komen orang sekeliling, pengalaman hidup dan imej kecantikan di media sosial sehingga mendorong sesetengah daripada mereka berasa perlu mengubah penampilan untuk meningkatkan keyakinan diri.
Namun begitu, yang lebih penting ialah wanita perlu menjaga kesihatan dan penampilan sambil menghargai diri pada setiap peringkat perubahan tubuh.

Menurut Jururawat Klinikal, Program Kejururawatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Nurul Hafiza Saad, ‘body respect’ bermaksud cara kita melayan tubuh dengan hormat melalui gaya pemakanan yang sihat, rehat yang cukup, penjagaan kesihatan dan cara kita bercakap tentang diri kita sendiri tanpa perlu menunggu sehingga mencapai berat atau rupa tertentu untuk mula berbuat demikian.
“Ada hari kita suka melihat diri di cermin, dan ada hari kita kurang yakin. Padahal kedua-dua hari tersebut, tubuh tetap memerlukan penjagaan.
“Menerima tubuh juga tidak bermakna kita mengabaikan nasihat kesihatan. Jika doktor mengenal pasti masalah yang memerlukan rawatan atau pengurusan berat badan, kita boleh mengusahakannya dengan sokongan yang sesuai kerana penghormatan kepada diri tidak perlu ditangguhkan sehingga rawatan atau perubahan itu berjaya,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Nurul Hafiza, nilai diri tidak ditentukan oleh saiz pakaian dan kita boleh mempunyai matlamat kesihatan sambil terus menghormati tubuh yang sedang kita jaga.
“Apabila kita kerap melihat imej yang sangat terpilih lalu membandingkan kehidupan sebenar dengan penampilan seseorang pada saat terbaiknya walhal gambar tersebut mungkin melibatkan sudut kamera, pencahayaan atau suntingan yang kita tidak nampak.
“Oleh itu, jumlah tanda suka bukan ukuran nilai atau kecantikan seseorang.
“Menurut kajian Blackburn dan Hogg pada tahun 2024 yang melibatkan 273 wanita berumur 18 hingga 28 tahun mendapati wanita yang menonton kandungan TikTok yang menggalakkan amalan anoreksia menunjukkan penurunan kepuasan terhadap tubuh yang lebih besar berbanding kumpulan yang menonton kandungan neutral,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, kajian ini menunjukkan nilai kesan segera dalam sampel yang kebanyakan wanita menetap di Australia, namun begitu ia tidak membuktikan bahawa semua pengguna TikTok akan mengalami gangguan pemakanan.
“Secara praktikalnya, kaum wanita perlu perhatikan perasaan sendiri selepas melihat sesuatu akaun. Jika kandungannya membuatkan kita sentiasa berasa tidak cukup cantik atau terdesak untuk mengubah tubuh, kita boleh ‘unfollow’ saja akaun tersebut.
“Apa yang penting, pilihlah kandungan berkenaan ilmu, kemahiran dan minat yang mengingatkan kita bahawa kehidupan lebih luas daripada penampilan,” katanya.
Jelas beliau lagi, aspek pemilihan makanan juga perlu dititik beratkan dan kita boleh mulakan dengan menyusun hidangan yang seimbang dan pelbagai melalui rujukan panduan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu konsep Suku Suku Separuh.
“Kita digalakkan mengambil saiz sajian yang sesuai seperti lebihkan sayur dan buah, sumber protein yang mencukupi serta pilihan bijirin penuh dan air kosong juga digalakkan menggantikan minuman manis.
“Dalam kehidupan seharian, cuba lihat apa yang boleh dilengkapkan dalam sepinggan hidangan. Jika makan nasi dengan lauk sahaja, tambah sayur dan buah mengikut kesesuaian serta tidak perlu menganggap setiap kali makan sebagai ujian disiplin atau mengukur harga diri berdasarkan menu pada hari itu.
“Makanan kegemaran juga boleh dinikmati dengan mengambil kira jumlah, kekerapan dan keseluruhan corak pemakanan serta elakkan berlapar atau senaman berlebihan sebagai hukuman kerana rasa bersalah apabila menikmati makanan tersebut,” ulasnya lanjut.
Nurul Hafiza berkata, wanita boleh membina keyakinan diri apabila tubuh berubah terutama selepas bersalin atau apabila usia meningkat, sambil tetap menikmati penjagaan kecantikan.
“Kita boleh mulakan dengan mengubah ukuran keyakinan. Selain rupa, fikirkan kebolehan, nilai dan pengalaman yang kita bawa.
“Seorang wanita mungkin seorang pendengar yang baik, cekap mengurus kerja atau berani mempelajari sesuatu yang baharu dan semua ini sebahagian daripada dirinya yang wajar dihargai.
“Menjaga penampilan, bersolek dan memilih pakaian yang kita suka boleh diteruskan. Pada masa yang sama, cuba elakkan meletakkan syarat seperti hanya boleh bergambar apabila sudah kurus dan ciptalah kenangan dengan menyertai aktiviti sekarang sambil terus menjaga diri,” ujarnya.
Beliau berkata, sebagai permulaan, apabila terlintas ayat ‘badan saya teruk’, cuba gantikan dengan ayat yang lebih adil seperti ‘tubuh saya sedang berubah, dan saya boleh belajar menjaganya’.
“Kita tidak perlu memaksa diri berasa cantik sepanjang masa sebaliknya berilah diri layanan seperti kita sendiri akan berikan kepada seorang sahabat.
“Sokongan keluarga dan rakan-rakan juga penting dalam membentuk persekitaran yang lebih sihat.
“Sokongan boleh bermula dengan tidak menjadikan tubuh orang lain sebagai bahan komen. Ayat seperti ‘dah berisi sekarang’ mungkin dianggap gurauan oleh penutur, tetapi penerimanya boleh berasa tidak selesa,” katanya lagi.
‘Body respect’ bukan tentang memaksa diri menyukai setiap aspek tubuh pada setiap masa, tetapi memberi tubuh penjagaan dan penghormatan yang sewajarnya. Setiap wanita boleh mempunyai matlamat kesihatan, menjaga penampilan dan pada masa yang sama menghargai diri dalam setiap peringkat perubahan tubuh.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman
- Created on .
- Hits: 117