ANCAMAN SENYAP KETIKA BANJIR: BAHAYA KEPADA NYAWA DAN KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Disember 2025 - Banjir bukan sahaja membawa kemusnahan fizikal, tetapi turut mengundang ancaman senyap yang boleh membahayakan nyawa dan kesihatan orang ramai.
Air banjir yang tercemar dengan sisa kumbahan, bahan kimia dan serpihan berbahaya meningkatkan risiko jangkitan seperti leptospirosis, penyakit kulit serta cirit-birit. Selain itu, arus deras yang sukar dijangka boleh menyebabkan lemas, manakala kejutan elektrik daripada pendawaian terendam menjadi risiko maut yang sering tidak disedari.
Persekitaran lembap juga menggalakkan pembiakan nyamuk dan meningkatkan penularan penyakit bawaan vektor. Oleh itu, kesedaran, langkah pencegahan dan kepatuhan terhadap arahan keselamatan amat penting bagi melindungi diri dan keluarga ketika berdepan situasi banjir.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Afiq Izzudin A. Rahim berkata, banjir bukan sekadar isu air dan kerosakan harta benda, namun membawa tiga (3) ancaman senyap yang mampu meragut nyawa serta memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan fizikal dan mental mangsa.
"Ancaman pertama ialah penyakit bawaan air seperti leptospirosis atau kencing tikus dan kolera atau taun yang boleh menyebabkan komplikasi serius jika tidak dirawat segera.
"Di samping itu, peningkatan kes jangkitan pernafasan akut (ARI) sering dilaporkan dalam kalangan mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Simptom seperti batuk, demam, sakit tekak dan selesema tidak boleh dipandang ringan kerana jangkitan pernafasan yang berlarutan, terutama di kawasan padat seperti PPS, boleh membawa kepada komplikasi paru-paru yang lebih serius," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Afiq Izzudin lagi, penyakit kulit seperti jangkitan kulat, keradangan kulit dan kulit sensitif juga merupakan masalah lazim semasa banjir.
"Gejala seperti kegatalan, kemerahan dan perubahan struktur kulit perlu dipantau dan dirawat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
"Ancaman kedua pula berkait bahaya fizikal dan logistik, termasuk kecederaan, risiko lemas dan renjatan elektrik.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah situasi apabila bekalan ubat pesakit kronik seperti insulin atau ubat darah tinggi terputus, seterusnya mencetuskan keadaan kecemasan yang mengancam nyawa," terangnya lagi.
Beliau berkata, pesakit kronik dinasihatkan agar tidak membiarkan penyakit kronik mereka menjadi kecemasan akut.
"Oleh itu, setiap keluarga perlu mempunyai beg kesihatan yang mengandungi bekalan ubat sekurang-kurangnya tujuh (7) hari serta salinan rekod rawatan dan pastikan beg tersebut adalah kalis air," katanya.
Afiq Izzudin berkata, ancaman yang ketiga pula ialah kesan psikososial yang sering tidak disedari tetapi memberi impak besar khususnya kepada kanak-kanak.
"Trauma pascabanjir boleh dilihat melalui perubahan tingkah laku mendadak, ketakutan melampau dan enggan berpisah dengan ibu bapa.
"Ibu bapa atau penjaga perlu segera menghubungi Pasukan Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau talian psikososial jika mendapati perubahan sedemikian bagi mendapatkan sokongan psikososial awal sebelum keadaan bertambah buruk," jelasnya.
Menurut Afiq Izzudin, dalam proses pembersihan rumah pascabanjir pula, keperluan lima (5) penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) asas yang wajib digunakan adalah selaras dengan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) nombor 20, termasuk kasut but getah, sarung tangan getah tebal, pelitup muka, pelindung mata serta pakaian lengan panjang dan seluar panjang.
"Ini penting kerana mangsa berdepan bahaya biologi seperti kuman dan najis tikus, bahaya kimia daripada lumpur serta risiko fizikal seperti peralatan tajam.
"Orang ramai perlu sentiasa mematuhi tiga (3) panduan ringkas ketika amaran banjir iaitu sediakan beg kesihatan, utamakan air bersih yang telah dimasak atau air botol dan lindungi diri daripada air banjir dengan peralatan keselamatan yang sesuai kerana ini penting bagi mengelakkan sebarang risiko yang mungkin berlaku," tegasnya.
Beliau turut berharap agar perkongsian ini dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat, khususnya di Kelantan yang berisiko tinggi menghadapi banjir ketika peralihan Monsun Timur Laut serta memastikan keselamatan fizikal dan mental keluarga terjamin sepanjang musim tengkujuh.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 172