Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

AWAS MERKURI DALAM KOSMETIK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Jun 2023 – Merkuri atau nama saintifiknya Hydrargyrum (Hg) merupakan logam berat yang juga dikenali sebagai logam transisi dan boleh berada dalam pelbagai bentuk selain bentuk yang boleh berubah dan berfungsi sebagai konduktor haba dan elektrik.

IMG 20230623 WA0021
 
Menurut Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Wan Azman Wan Sulaiman, dalam peradaban manusia, merkuri digunakan dari zaman purba lagi terutama di kawasan Timur Jauh dan Asia Tengah.
 
"Ianya digunakan dalam proses pengawetan mayat golongan bangsawan dan bagi bangsawan di istana mereka menggunakan merkuri untuk menjadikan kulit sentiasa kelihatan remaja.
 
"Penggunaan merkuri dalam perawatan kosmetik bermula secara tidak sengaja apabila pekerja yang menguruskan merkuri mengalami pengelupasan kulit dan sembuh dengan kulit yang lebih remaja berbanding usia.
 
"Kesan positif merkuri ialah boleh mencerah dan menegangkan kulit hasil dari pembentukan atau pertukaran bahagian epidermis kulit melalui pengaktifan kolagen kulit atau secara umumnya merkuri merangsang proses semulajadi 'regenerative' kulit," katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
 
Tambah Wan Azman, merkuri boleh diserap melalui permukaan kulit dan memasuki badan bergantung kepada jenis merkuri yang bersentuhan dengan kulit atau mukosa.
 
"Penggunaan merkuri dengan jumlah yang sedikit tidak mendatangkan apa-apa kesan ketara kepada badan.
 
"Namun, penggunaan berterusan akan menyebabkan pengumpulan merkuri dalam badan dan apabila ia sudah mencapai tahap yang tinggi, ia akan menyebabkan berlaku kerosakan kepada organ dalam badan," jelasnya lagi.
 
Wan Azman berkata, penggunaan merkuri yang berterusan juga menyumbang kepada kerosakan organ penting badan seperti otak, paru-paru, hati, usus, buah pinggang dan sebagainya. 
 
"Antara tanda umum keracunan merkuri ialah sakit kepala, mual atau muntah, batuk berpanjangan, pendarahan usus, serta kekuningan.
 
"Bagi mengelak penggunaan bahan-bahan kosmetik yang mungkin mengandungi merkuri, kita perlu mengenali nama biasa serta nama saintifik merkuri agar sentiasa peka dengan kandungan bahan kosmetik terutama produk yang diragui kelulusannya dari pihak berwajib.
 
"Selain itu, kita juga perlu sensitif terhadap perubahan kesihatan badan setiap kali penggunaan bahan kosmetik yang baharu," ujarnya.
 
Wan Azman turut berpesan agar orang ramai mengamalkan cara hidup yang sihat, amalkan pemakanan sihat, sentiasa melakukan senaman, memastikan masa rehat dan masa tidur yang mencukupi di samping melindungi kulit daripada pendedahan yang berlebihan kepada cahaya matahari serta menggunakan pelembap kulit yang tidak mengkakis kulit.
 
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
  • Created on .
  • Hits: 557