Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BEKAS PLASTIK PEMBUNGKUS MAKANAN: APA YANG PENGGUNA PERLU TAHU

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Jun 2026 - Pembungkusan berasaskan plastik memainkan peranan penting kerana sifatnya yang serba boleh, tahan lama, ringan dan murah selain membantu memanjangkan jangka hayat makanan, menghalang pencemaran serta memudahkan pengangkutan dan penyimpanan.

Antara plastik yang lazim digunakan dalam pembungkusan makanan ialah polietilena (PE), polipropilena (PP), polietilena tereftalat (PET), polistirena (PS) dan polivinil klorida (PVC).

1000270675

Menurut Pensyarah Universiti, Unit Sains Asas, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Firdaus Yhaya, walaupun plastik memberi banyak manfaat, kebimbangan terhadap implikasi penggunaannya terhadap kesihatan dan keselamatan makanan semakin meningkat.

“Salah satu kebimbangan utama ialah migrasi bahan kimia daripada pembungkusan plastik ke dalam makanan, khususnya apabila terdedah kepada haba, cahaya matahari, persekitaran berasid atau penyimpanan terlalu lama.

“Bahan kimia seperti bisphenol A (BPA), ftalat, stirena dan bahan tambah lain boleh terlarut resap ke dalam makanan dan minuman,” katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah beliau, kajian saintifik menunjukkan bekas pendedahan jangka panjang terhadap bekas plastik boleh mengganggu fungsi endokrin, kesihatan pembiakan, pembangunan neurologikal serta meningkatkan risiko penyakit kronik.

“Golongan berisiko tinggi termasuk bayi, kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas kerana sensitiviti mereka lebih tinggi.

“Sejak kebelakangan ini, isu mikroplastik dan nanoplastik semakin mendapat perhatian. Daripada perspektif keselamatan makanan, penggunaan bekas plastik secara tidak sesuai seperti memanaskan semula makanan di dalam plastik yang tidak selamat untuk ketuhar mikrogelombang atau menggunakan semula pembungkusan plastik ‘single use’ dapat meningkatkan migrasi bahan kimia dan pencemaran,” ujarnya lagi.

Mohd Firdaus berkata, kesedaran pengguna dan pematuhan kepada garis panduan keselamatan adalah penting untuk meminimakan risiko pendedahan.

Beliau juga menekankan bahawa setiap plastik mempunyai kod tertentu.

“Kod 1, 2, 4 dan 5 adalah gred makanan (food grade) dan sering digunakan dalam kehidupan harian, namun tahap keselamatan berbeza dari segi penggunaan berulang dan ketahanan haba.

“Pengguna disarankan untuk mengelakkan penggunaan plastik berkod 3 (Polyvinyl Chloride – PVC) dan 6 (Polystyrene – PS) kerana kedua-dua jenis plastik ini berpotensi melepaskan bahan kimia berbahaya ke dalam makanan dan minuman, terutamanya apabila terdedah kepada suhu tinggi.

“Bagi plastik di bawah kod 7 (lain-lain), jenis plastik perlu dikenal pasti terlebih dahulu kerana kumpulan ini merangkumi bahan seperti ‘polycarbonate’, bioplastik dan campuran beberapa jenis plastik,” jelasnya lagi.

Mohd Firdaus turut menyatakan bahawa pembungkus makanan plastik tidak sesuai digunakan berulang kali kerana boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan pengguna.

“Pengguna dinasihatkan untuk memilih bekas yang direka khusus untuk penggunaan berulang demi perlindungan jangka panjang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar mengamalkan penggunaan pembungkusan makanan secara berhemah dan bertanggungjawab, termasuk mengelakkan tabiat menggunakan semula pembungkus plastik sekali guna serta memastikan bekas yang digunakan berada dalam keadaan baik, tidak retak atau berubah bentuk.

“Kesedaran dan perubahan tingkah laku pengguna memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko pendedahan bahan kimia berbahaya daripada plastik.

“Pemilihan pembungkusan yang selamat bukan sahaja dapat melindungi kesihatan individu dan keluarga, malah menyumbang kepada amalan keselamatan makanan yang lebih baik dalam jangka panjang,” ulasnya lanjut.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 190