BIUS BANTU BERI KESELESAAN DAN KESELAMATAN KEPADA PESAKIT SEBELUM PEMBEDAHAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 31 Disember 2024 – Bius memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pesakit semasa prosedur perubatan atau pembedahan. Ia merujuk kepada penggunaan bahan kimia atau ubat-ubatan untuk menghilangkan rasa sakit, kebas atau menyebabkan kehilangan kesedaran bergantung kepada jenis dan keperluan prosedur perubatan.
Pakar Anestesiologi dan Rawatan Kritikal, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Nurul 'Aifaa Mohd Azmi berkata, terdapat dua (2) jenis bius yang biasa digunakan iaitu bius tempatan dan bius umum.
“Bius tempatan digunakan untuk membius kawasan tertentu pada tubuh tanpa mempengaruhi kesedaran pesakit di mana pesakit akan kekal sedar dan tidak merasa sakit pada kawasan yang dibius.
“Bius umum pula akan menyebabkan pesakit tidur atau kehilangan kesedaran sepenuhnya sesuai untuk pembedahan besar atau prosedur kompleks.
“Tujuan utama penggunaan bius adalah untuk memastikan pesakit tidak merasa sakit atau ketidakselesaan semasa prosedur dijalankan selain membantu pesakit berada dalam keadaan selamat dan tenang serta meminimumkan risiko trauma psikologi,” katanya ketika ditemu bual dalam slot Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Nurul 'Aifaa, bius tempatan biasanya diberikan melalui suntikan di kawasan tertentu atau dengan aplikasi topikal seperti gel atau krim bius.
“Suntikan ini akan menghalang saraf di kawasan tersebut daripada menghantar isyarat kesakitan ke otak dan membolehkan prosedur dilakukan dengan lancar.
“Antara kesan sampingan penggunaan bius ialah mual, muntah, sakit tekak, kebas berpanjangan dan pening kepala serta dalam kes tertentu, pesakit mungkin mengalami reaksi alahan ringan seperti ruam atau gatal-gatal.
“Bius biasanya diberikan oleh Pakar Anestesiologi terlatih kerana tugas mereka merangkumi memilih jenis bius yang sesuai, memastikan dos yang betul dan memantau fungsi vital pesakit sepanjang prosedur berjalan,” ujarnya.
Nurul 'Aifaa berkata, bagi bius umum, penggunaannya adalah selamat apabila dilakukan oleh pakar yang berpengalaman. Namun, ia mungkin tidak sesuai untuk semua pesakit terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, gangguan pernafasan atau alahan teruk.
“Antara risiko utama bius umum adalah gangguan pernafasan, penurunan tekanan darah, mual dan muntah serta sakit tekak akibat penggunaan tiub pernafasan dan risiko ini lebih tinggi bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik.
“Bagi pesakit yang mengalami reaksi alergi terhadap bius, tindakan segera perlu diambil kerana penggunaan bahan bius akan dihentikan serta-merta dan rawatan kecemasan seperti pemberian antihistamin atau adrenalin akan dilakukan,” jelasnya lagi.
Sebagai langkah pencegahan, Nurul 'Aifaa turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi tentang bius dan tidak perlu bimbang kerana kebanyakan komplikasi berkaitan bius dapat dielakkan dengan pemantauan dan pengurusan yang teliti oleh pakar.
Beliau juga menasihatkan pesakit yang akan menjalani pembedahan untuk memberikan maklumat lengkap mengenai sejarah kesihatan mereka kerana ini penting bagi memastikan jenis bius yang digunakan adalah sesuai dan selamat.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom
- Created on .
- Hits: 248