CABARAN KOMUNIKASI PESAKIT STROK PERLU DIBERI PERHATIAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Mei 2026 - Strok bukan sahaja menjejaskan pergerakan fizikal, malah boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk berkomunikasi, seperti mengalami kesukaran untuk bercakap, memahami percakapan, membaca atau menulis.
Ramai yang kurang sedar bahawa pesakit strok yang sukar bercakap tidak semestinya tidak faham apa yang berlaku di sekeliling mereka. Ada pesakit yang masih tahu apa yang ingin disampaikan, tetapi sukar meluahkan kata-kata.

Pensyarah Universiti yang juga Terapis Pertuturan-Bahasa, Program Patologi Pertuturan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Azmarul A Aziz berkata, masalah komunikasi selepas pesakit itu diserang strok sehingga menjejaskan bahagian otak yang berfungsi mengawal bahasa, pertuturan, pemahaman, membaca dan menulis dikenali sebagai afasia.
“Keadaan ini berbeza bagi setiap pesakit kerana ada sebahagiannya sukar bercakap tetapi masih memahami percakapan orang lain, manakala ada yang boleh bertutur namun pertuturannya tidak jelas atau sukar difahami.
“Afasia boleh muncul dalam pelbagai bentuk bergantung pada bahagian otak yang terlibat dan tahap kecederaan yang berlaku.
“Paling penting untuk difahami ialah afasia bukan bermaksud seseorang itu tidak bijak atau tidak faham, tetapi mereka mengalami gangguan bahasa akibat kerosakan pada otak selepas strok,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Menurut beliau, cabaran yang sering dialami oleh pesakit strok ialah sukar mencari perkataan yang tepat semasa bercakap.
“Mereka tahu apa yang ingin dikatakan, tetapi tidak dapat menyusunnya dengan baik untuk diluahkan.
“Selain itu, ada pesakit yang menghadapi kesukaran memahami percakapan orang lain, terutama jika percakapan terlalu cepat, ayat terlalu panjang atau terlalu banyak maklumat diberikan serentak.
“Cabaran ini boleh menyebabkan pesakit mudah berasa kecewa, marah atau putus asa kerana mereka tidak dapat berkomunikasi seperti sebelum strok,” ujarnya lagi.
Tambah Mohd Azmarul, masalah komunikasi selepas strok boleh menjejaskan hampir semua aspek kehidupan harian.
“Perkara yang kelihatan mudah bagi orang lain seperti meminta bantuan, menyatakan rasa sakit atau membaca mesej boleh menjadi sangat mencabar bagi pesakit strok.
“Apabila komunikasi terganggu, pesakit mungkin mula berasa tidak yakin untuk bercakap lalu memilih untuk berdiam diri atau mengelakkan perbualan.
“Lama-kelamaan, ia boleh mendatangkan kesan emosi seperti sedih, kecewa, rendah diri dan dalam sesetengah keadaan boleh mengalami tekanan emosi yang lebih mendalam," jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd Azmarul berkata, ahli keluarga perlu memainkan peranan penting dalam membantu pesakit strok menyesuaikan diri dengan perubahan komunikasi yang dialami.
“Antara langkah yang boleh dilakukan ialah bercakap secara perlahan dan jelas, menggunakan ayat yang ringkas serta memberi satu maklumat pada satu masa supaya lebih mudah difahami.
“Selain itu, ahli keluarga perlu memberi masa yang mencukupi kepada pesakit untuk menjawab dan jangan terlalu cepat memotong percakapan, menyampuk atau membetulkan setiap kesalahan yang berlaku.
“Penggunaan isyarat tangan, mimik muka, gambar, tulisan atau menunjukkan objek sebenar juga boleh membantu memudahkan komunikasi dan yang paling penting, pesakit perlu terus dihormati, dilibatkan dalam perbualan dan diberi peluang untuk menyuarakan pandangan mereka walaupun mengambil masa yang lebih lama,” ulasnya lanjut.
Mohd Azmarul turut menyeru masyarakat agar lebih memahami pesakit yang sukar bercakap selepas strok, termasuk mereka yang mengalami afasia.
“Mereka masih memahami apa yang berlaku di sekeliling, tetapi menghadapi kesukaran untuk meluahkan bahasa dengan berkesan.
“Oleh itu, kita perlu mengubah cara kita berinteraksi dengan mereka. Bercakaplah dengan hormat, beri masa untuk mereka memberi respons dan jangan bercakap tentang mereka di hadapan seolah-olah mereka tidak wujud di situ.
“Dengan sokongan keluarga, rawatan yang sesuai dan sikap masyarakat yang lebih peka, mereka masih boleh terus menjalani kehidupan dengan lebih yakin dan bermaruah,” ujarnya.
Teks: Nik Ariff Mat Daud / Reka Grafik: Mohd Rody Mohd Amin
- Created on .
- Hits: 258