Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

CEPATKAN BANTUAN CPR, ELAK KECEDERAAN OTAK SERIUS

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Jun 2023 - Tahukah anda, kelewatan mendapat bantuan kecemasan ketika tidak sedarkan diri boleh menyebabkan otak mengalami kecederaan serius.

Menurut Pakar Perubatan Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Boniami Yazid, pendedahan mengenai teknik bantuan asas hayat atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR) kepada orang ramai sangat penting kerana hanya orang yang berada di sekitar mangsa sahaja boleh memberikan bantuan kecemasan seperti CPR secepat mungkin, sementara menunggu petugas kesihatan tiba.

5e513218 2849 4cfb a862 141855d821d5

"Mangsa perlu diberi bantuan segera kerana otak manusia hanya dapat bertahan selama empat (4) minit sahaja sebelum mengalami kecederaan fatal akibat kekurangan oksigen.

"Kelewatan bantuan boleh mengakibatkan kemungkinan mangsa terlantar sebagaimana pesakit strok walaupun berjaya diselamatkan dan CPR merupakan salah satu teknik pertolongan cemas yang diberikan kepada mangsa tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.

"Bantuan ini seharusnya diberikan segera sementara menunggu ambulans tiba kerana tempoh masa yang ada terlalu singkat” ujar beliau ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Mohd Boniami, sebelum melakukan CPR, kita perlu memastikan persekitaran kita selamat dengan mengalihkan mangsa ke tempat yang bersesuaian.

"Sekiranya mangsa terkena renjatan elektrik, sila pastikan aliran elektrik dimatikan terlebih dahulu.

“Komponen CPR terdiri daripada tekanan dada dan bantuan pernafasan mulut ke mulut.

“Kita perlu memastikan mangsa betul-betul tidak sedarkan diri dengan memeriksa denyutan nadi, pernafasan, pergerakan seperti batuk dan cuba bercakap dengan mangsa," katanya lagi.

Mohd Boniami berkata, sekiranya tidak selesa untuk memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut, kita boleh melakukan tekanan dada sahaja yang dipanggil 'hands only CPR'.

"Keberkesanan teknik ini adalah setara dengan teknik CPR yang sepenuhnya dengan syarat jumlah kelajuan dan tekanan dada adalah betul.

"Pelbagai faktor mempengaruhi kejayaan perawatan mangsa untuk kembali pulih. Antaranya adalah tempoh selang masa pesakit tidak sedarkan diri dengan memulakan CPR, kualiti CPR yang diberikan, siasatan, perawatan dan pemulihan menyeluruh di hospital dan ini panggil 'Chain of Survival," ulasnya lanjut.

Mohd Boniami turut menjelaskan punca mangsa tidak sedarkan diri majoritinya disebabkan oleh serangan jantung yang teruk.

"Apabila berlaku serangan jantung, jantung tidak dapat mengepam darah dengan baik ke seluruh badan terutama ke bahagian otak dan kekurangan oksigen di bahagian otak akan menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

“Terdapat tiga faktor risiko yang paling utama mendapat serangan jantung iaitu tekanan darah yang tidak terkawal, paras kolestrol yang tinggi dan tabiat merokok,” terangnya.

Mohd Boniami turut berharap agar semua isi rumah dan masyarakat lebih peka dengan pengetahuan melakukan teknik CPR supaya dapat menyelamatkan lebih ramai orang pada masa akan datang.

Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 438