Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

DERMA DARAH: SATU SUMBANGAN, TIGA NYAWA DISELAMATKAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Mei 2026 – Darah merupakan komponen unik dalam kehidupan manusia yang tidak dapat dihasilkan di makmal atau dicipta secara sintetik. Ia adalah anugerah kehidupan yang amat bernilai serta menjadi 'hadiah nyawa' yang hanya dapat disumbangkan melalui keikhlasan dan sifat kemanusiaan seseorang penderma darah.

Dalam konteks ini, slogan 'Satu Beg Darah Selamatkan Tiga Nyawa' mengetengahkan peranan penting pendermaan darah dalam menyelamatkan nyawa. Satu (1) unit darah yang didermakan berupaya memberi manfaat kepada tiga (3) pesakit berbeza melalui penggunaan komponen darah mengikut keperluan rawatan masing-masing.

1000259829

Menurut Pensyarah Universiti, Jabatan Hematologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Muhammad Farid Johan, ramai yang beranggapan bahawa darah yang didermakan akan diberikan terus kepada seorang pesakit sahaja.

“Namun, satu (1) beg darah yang didermakan iaitu sekitar 450 mililiter, sebenarnya akan dibawa ke makmal untuk diproses dan diasingkan kepada tiga (3) komponen utama melalui proses emparan 'centrifuge' berdasarkan berat setiap komponen darah.

“Komponen sel darah merah lazimnya digunakan untuk membantu mangsa kemalangan, ibu yang mengalami tumpah darah selepas bersalin serta pesakit yang menjalani pembedahan besar.

“Plasma pula digunakan bagi rawatan pesakit hemofilia dan mangsa melecur akibat kebakaran, manakala platelet amat penting untuk pesakit denggi, leukemia, kanser serta individu yang mengalami masalah pembekuan darah," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.

Muhammad Farid berkata, darah yang didermakan tidak terus digunakan, sebaliknya perlu melalui ujian saringan di makmal bagi menentukan kumpulan darah ABO dan Rhesus (Rh), selain memastikan darah tersebut bebas daripada penyakit berjangkit seperti 'Human Immunodeficiency Virus' (HIV), Hepatitis B, Hepatitis C dan sifilis demi keselamatan penerima.

“Selepas itu, darah akan diproses menggunakan mesin khas melalui kaedah emparan 'centrifuge' untuk mengasingkan komponen utama seperti sel darah merah, plasma dan platelet mengikut fungsi serta keperluan rawatan pesakit.

“Setiap komponen darah disimpan pada suhu berbeza bagi mengekalkan kualiti dan fungsinya iaitu sel darah merah pada suhu dua (2) hingga empat (4) darjah celsius, plasma sekitar -30 darjah celsius dan platelet pada suhu bilik terkawal antara 20 hingga 24 darjah celsius,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, keselamatan penderma dan penerima sentiasa menjadi keutamaan dalam proses pendermaan darah.

“Antara syarat asas untuk menjadi penderma ialah berumur antara 17 hingga 60 tahun bagi penderma baharu atau sehingga 70 tahun bagi penderma tetap, mempunyai berat badan melebihi 45 kilogram serta berada dalam keadaan sihat tanpa demam, batuk atau pengambilan antibiotik dalam tempoh tujuh (7) hari.

“Selain itu, penderma juga tidak boleh terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi dan tidak membuat tatu, akupunktur atau bekam dalam tempoh 12 bulan terakhir.

“Bagi melancarkan proses pendermaan, penderma perlu mendapatkan rehat yang mencukupi, mengambil makanan sebelum menderma serta memastikan pengambilan air yang mencukupi,” ujarnya.

Tambah Muhammad Farid, menderma darah merupakan satu pelaburan kesihatan yang sangat baik kerana ia bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa, malah memberi pelbagai manfaat kepada penderma.

“Penderma akan menerima pemeriksaan kesihatan percuma termasuk pemeriksaan tekanan darah, tahap hemoglobin (Hb), jenis darah serta saringan penyakit berjangkit.

“Dari aspek kesihatan, amalan ini membantu mengurangkan risiko serangan jantung dengan menurunkan kepekatan zat besi berlebihan dalam darah yang boleh merosakkan saluran darah.

“Selain itu, badan turut membakar kira-kira 650 kalori semasa proses penghasilan semula darah baharu di samping membantu memperbaiki aliran darah kerana darah menjadi lebih ‘cair’ dan segar," ulasnya lanjut.

Menurut Muhammad Farid, proses regenerasi sel darah juga menjadikan peredaran darah lebih lancar sekali gus memberi kesan kepada tubuh yang lebih sihat dan bertenaga.

"Menderma darah tidak menyebabkan peningkatan berat badan, malah membantu pembakaran kalori yang setara dengan aktiviti berlari selama satu (1) jam.

“Badan juga mampu menggantikan semula komponen darah dengan cepat iaitu plasma dalam tempoh 24 jam dan sel darah merah dalam beberapa minggu.

“Proses pendermaan juga tidak menyakitkan dan penderma hanya akan berasa seperti digigit semut ketika jarum dimasukkan dan proses ini biasanya mengambil masa sekitar 10 minit sahaja,” katanya lagi.

Pada akhir temu bual, Muhammad Farid menegaskan bahawa keperluan darah adalah berterusan kerana bekalan darah diperlukan setiap hari dan bukan hanya ketika kecemasan bagi menampung keperluan pesakit pembedahan, pesakit buah pinggang dan lain-lain rawatan kritikal.

“Orang ramai dijemput hadir ke Unit Perubatan Transfusi (UPT), Hospital Pakar USM untuk menderma darah mengikut waktu operasi yang ditetapkan iaitu 8.10 pagi hingga 4.30 petang bagi hari Ahad hingga Rabu dan 8.10 pagi hingga 3.00 petang bagi hari Khamis.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi UPT HPUSM di talian 09-767 3340, 3341, 3349 atau 3337.

“Penderma lelaki dibenarkan menderma setiap tiga (3) bulan sekali, manakala penderma wanita setiap empat (4) bulan sekali," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendermaan darah adalah selamat tidak menyakitkan serta memberi manfaat kesihatan dan ganjaran kemanusiaan yang besar.

Teks: Marlina Zahari/ Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom

  • Created on .
  • Hits: 323