Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

FAHAMI PERIMENOPAUS DAN MENOPAUS: TRANSFORMASI DIRI BUKAN SEKADAR BIOLOGI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Januari 2025 - Perimenopaus dan menopaus bukan sekadar perubahan biologi dalam kehidupan wanita, sebaliknya merupakan satu fasa peralihan penting yang memberi kesan signifikan terhadap kesihatan fizikal, kesejahteraan emosi serta pembentukan identiti diri.

Seiring dengan itu, pendekatan ‘midlife reset’ dilihat sebagai satu usaha strategik untuk membantu wanita menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku, menyokong kesihatan tubuh yang sedang berubah, serta membina semula keseimbangan dan hala tuju kehidupan dengan lebih matang dan berkesan.

1000220481

Pengajar Jururawat, Program Kejururawatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Nurhayati Mohamad Nor, berkata, perimenopaus merujuk kepada fasa peralihan sebelum menopaus apabila tahap hormon estrogen dan progesteron mula menurun secara beransur-ansur.

“Keadaan ini menyebabkan kitaran haid menjadi tidak teratur serta boleh disertai pelbagai gejala seperti ‘hot flushes’, perubahan emosi, gangguan tidur dan keletihan.

“Menopaus pula ditakrifkan sebagai keadaan apabila seseorang wanita mengalami pemberhentian haid sepenuhnya selama 12 bulan berturut-turut tanpa sebarang punca perubatan lain.

“Ia menandakan berakhirnya fungsi reproduktif wanita dan kebiasaannya berlaku dalam lingkungan umur 45 hingga 55 tahun.

“Kefahaman yang jelas terhadap kedua-dua fasa ini penting bagi membantu wanita membuat penyesuaian awal dari aspek kesihatan, gaya hidup dan kesejahteraan diri,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Nurhayati, perimenopaus dan menopaus bukan sekadar fenomena biologi tetapi turut melibatkan perubahan emosi, psikologi dan spiritual.

“Perubahan yang dialami merangkumi aspek biologi seperti ketidakseimbangan hormon, kesihatan tulang dan risiko penyakit jantung.

“Aspek psikologi pula termasuk cabaran emosi, keresahan dan rasa kehilangan manakala aspek spiritual memberi peluang kepada wanita untuk memperkukuh nilai diri, hubungan dengan Tuhan dan makna kehidupan.

“Sehubungan itu, perimenopaus dan menopaus dilihat sebagai satu proses transformasi diri yang menyeluruh, bukan sekadar penamat kepada kitaran haid,” ujarnya.

Nurhayati menjelaskan konsep 'midlife reset' adalah proses menyusun semula kehidupan apabila seseorang berada di pertengahan umur yang lazimnya antara 40 hingga 55 tahun.

“’Midlife reset’ turut menekankan kepentingan keseimbangan antara kesihatan tubuh, minda dan jiwa.

“Fasa ini membuka peluang kepada pertumbuhan jiwa dan kebijaksanaan hasil pengalaman hidup, di samping menggalakkan wanita membina masa depan baharu yang lebih selari dengan nilai dan aspirasi diri.

“Sehubungan itu, ‘midlife reset’ dianggap sebagai satu peluang penting untuk menjadikan perimenopaus dan menopaus bukan sekadar cabaran biologi tetapi satu proses transformasi diri ke arah kesejahteraan dan kematangan yang lebih menyeluruh,” jelasnya lagi.

Menurut Nurhayati, ‘midlife transition’ pula bermaksud menerima perubahan sebagai peluang pertumbuhan jiwa dan ia adalah masa untuk berhenti sejenak, menilai semula dan memilih jalan hidup yang lebih selari dengan nilai serta impian.

“Ia bukan tanda kelemahan atau krisis, sebaliknya sebahagian daripada proses kematangan hidup yang memberi peluang untuk pertumbuhan diri dan kebijaksanaan.

“Fasa ini sesuai untuk refleksi diri dan penyesuaian identiti, sambil menekankan kepentingan kesihatan fizikal dan mental bagi mengelak risiko osteoporosis, penyakit jantung dan gangguan tidur,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya konsep 'midlife reset' diabaikan, wanita berisiko menghadapi krisis identiti, tekanan, kemurungan serta rasa tidak berharga akibat perubahan hormon dan peranan sosial yang semakin kompleks.

“Selain itu, kekurangan sokongan emosi dan refleksi diri boleh menjejaskan kesejahteraan mental, produktiviti dan hubungan interpersonal.

“Sebaliknya, dengan memberi perhatian kepada 'midlife reset', wanita dapat membina kesihatan holistik, memperkukuh kebijaksanaan jiwa dan menjalani kehidupan pertengahan usia yang lebih seimbang, sihat dan bermakna,” ulasnya lanjut.

Nurhayati turut menjelaskan bahawa Hospital Pakar USM (HPUSM) menyediakan pelbagai perkhidmatan menyeluruh untuk membantu wanita yang mengalami ‘midlife transition’ atau krisis pertengahan usia melalui perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi.

“Para wanita boleh mendapatkan rawatan perimenopaus dan menopaus termasuk pemeriksaan hormon dan pemeriksaan kesihatan reproduktif bagi mencegah komplikasi selepas menopaus.

“Mereka juga berpeluang mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri dan psikologi klinikal untuk mengurus tekanan, keresahan dan kemurungan serta menyertai program kaunseling individu atau berkumpulan,” ujarnya lagi.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Mohd Rody Mohd Amin

  • Created on .
  • Hits: 231