Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

FAKTOR DIRI DAN PERSEKITARAN CIPTA DAYA TAHAN REMAJA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 November 2025 - Zaman remaja bukan sekadar tentang pelajaran, kawan-kawan dan cita-cita, ia juga tentang bagaimana kita belajar bangkit semula setiap kali jatuh.

Itulah yang disebut sebagai ‘resilience’ atau daya tahan serta keupayaan mental dan emosi untuk menghadapi cabaran hidup tanpa mudah menyerah.

1000195994

Menurut Pensyarah Perubatan yang juga Pakar Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ahmad Shahril Ab. Halim, daya tahan ini umpama ‘otot psikologi’ yang perlu dilatih.

“Remaja hari ini berdepan tekanan yang tidak sama dengan generasi terdahulu.

“Tekanan akademik, kebimbangan masa depan, pengaruh media sosial dan ‘cyberbullying’ memberi impak besar kepada kesihatan mental mereka,” jelasnya ketika ditemu bual dalam segmen Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Ahmad Shahril, tanpa daya tahan yang kukuh, remaja mudah terperangkap dalam kitaran tekanan, kemurungan dan tingkah laku berisiko.

“Daya tahan bukan bermaksud hidup tanpa masalah, tetapi tentang bagaimana kita bangkit selepas jatuh,” katanya lagi.

Ahmad Shahril berkata, peranan ibu bapa dan guru pula amat besar dalam proses ini.

Beliau memperkenalkan konsep SOKONG sebagai panduan mudah iaitu Suasana Selamat, Orientasi Penyelesaian Masalah, Komunikasi Berkesan dan Kemahiran Emosi, Galakkan Autonomi, Nilaikan Kekuatan dan Gembirakan dengan Hubungan Positif.

“Anak remaja perlukan ruang untuk belajar daripada kesilapan, bukan hanya dihukum.

“Apabila mereka rasa didengar dan disokong, daya tahan mereka akan berkembang,” ujar beliau.

Ahmad Shahril turut mencadangkan agar pihak sekolah memainkan peranan aktif dalam membina kekuatan mental para pelajar.

“Antara pendekatan yang dicadangkan ialah mengajar kemahiran emosi secara langsung dalam subjek kesihatan atau sivik, memperkasa peranan pembimbing rakan sebaya dan memperkukuh perkhidmatan kaunseling di sekolah.

“Kaunselor sekolah perlu dilihat sebagai kawan, bukan tempat dihukum. Kalau boleh, setiap pejabat pendidikan daerah patut ada pegawai psikologi terlatih untuk bantu menguruskan kes serius,” tambahnya.

Ahmad Shahril turut menasihatkan ibu bapa dan guru-guru agar lebih peka terhadap perubahan ketara anak-anak atau pelajar yang sering menjauhkan diri daripada bergaul bersama keluarga, kerap marah atau menangis, prestasi akademik merosot dan mengeluarkan kata-kata berunsur putus asa.

“Jangan tunggu lama. Jika anak atau pelajar anda mempunyai tanda bahaya ini, segera dapatkan bantuan daripada profesional.

“Kekuatan sebenar datang daripada hubungan yang rapat dan penuh kasih sayang. Kita tidak boleh halang ribut dalam hidup anak-anak kita, tetapi kita boleh mengajar mereka membina kapal yang kukuh kerana inilah benteng mereka menghadapi badai ribut dalam meniti usia remaja.

“Kekuatan hubungan kita dengan mereka adalah bahan binaan yang paling penting. Luangkan masa, dengarkan dan tunjukkan kasih sayang tanpa syarat," katanya sambil mengingatkan bahawa komunikasi terbuka adalah asas kepada ketahanan mental yang sihat.

Dengan sokongan keluarga, guru dan komuniti, Ahmad Shahril yakin generasi muda boleh membina ketahanan diri yang hebat.

Menurut Ahmad Shahril lagi, daya tahan bukan dibina dalam sehari, tetapi ia merupakan perjalanan seumur hidup.

“Dengan sokongan yang betul, anak-anak remaja kita akan menjadi lebih kuat, positif dan mampu berdepan apa saja cabaran,” ulasnya lagi.

Ahmad Shahril turut berpesan kepada para remaja untuk meluahkan dan bercakap dengan seseorang yang mereka percayai kerana ia adalah tanda kekuatan yang sebenar.

“Ingatlah bahawa kamu tidak keseorangan dan sentiasa ada harapan serta bantuan untuk kamu semua.

“Antara sumber bantuan yang boleh dihubungi ialah talian HEAL 15555: talian krisis kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kaunselor di sekolah atau kaunselor swasta serta mana-mana klinik kesihatan terdekat.

“Perkhidmatan psikiatri dan kaunseling di hospital yang berdekatan juga boleh dirujuk jika keadaan memerlukan,” katanya.

Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 143