Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

FISIOTERAPI ANTARA KAEDAH RAWATAN PESAKIT TERLANTAR

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Oktober 2021 - Fisioterapi merupakan cabang perubatan menggunakan kaedah-kaedah rawatan yang bersistematik melalui kaedah terapi manual, teknik urutan, teknik senaman, modality ‘electric’, rawatan ais (cryotherapy), kaedah mekanikal dan ‘hydrotherapy’.

Perawatan fisioterapi juga menggunakan kaedah pemulihan fizikal melalui kaedah pesakit mempelajari semula pergerakan normal bagi pesakit yang mengalami masalah pergerakan akibat daripada kecederaan, kemalangan atau ekoran daripada menghadapi masalah penyakit kronik seperti kanser dan sebagainya yang mengganggu kefungsian di bahagian anggota terlibat.

Sebagai contoh, perawatan ini dijalankan menerusi kaedah pergerakan normal dari posisi baring terlentang kepada posisi mengiring, posisi mengiring kepada posisi duduk di tepi katil atau bersila sehingga kepada berdiri dan berjalan.

photo 2021 10 12 09 29 15

Menurut Pegawai Pemulihan Perubatan, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Mat Zain Yusoff, kaedah yang digunakan untuk merawat pesakit terlantar bergantung kepada tahap kehilangan fungsi fizikal yang dialami oleh seseorang pesakit.

“Terdapat beberapa kaedah untuk memberi rawatan kepada pesakit bagi mengekalkan ataupun meningkatkan fungsi fizikal seseorang pesakit seterusnya meningkatkan kualiti hidup pesakit terlantar dengan cara mengekalkan pergerakan sendi dan kekuatan otot.

“Antaranya adalah melalui kaedah pergerakan pasif ataupun regangan pasif bagi mengekalkan julat pergerakan sendi dan kepanjangan otot yang terlibat kerana kaedah ini biasanya digunakan terhadap pesakit yang tidak mampu menggerakan mana-mana bahagian anggota badan.

“Selain itu, kaedah separa pasif (active assisted) juga digunakan bagi pesakit yang mampu menggerakkan anggotanya tetapi tidak dengan sepenuhnya dan kedua - dua kaedah senaman pasif ataupun separa pasif ini akan dilakukan oleh Jurupulih Perubatan Anggota ataupun penjaga kepada pesakit,” ujarnya ketika ditemuramah dalam Rancangan Sembang Sihat bersama Radio Kelantan FM.

Tambah Mat Zain, kaedah lain yang turut digunakan ialah melalui kaedah senaman rintangan (resisted exercise) yang diberikan sama ada secara manual atau dengan menggunakan peralatan seperti pemberat, getah terapi (thera band), basikal statik dan sebagainya.

“Kaedah ini digunakan oleh pesakit yang mempunyai kekuatan otot tetapi belum mencapai tahap yang normal dengan tujuan untuk menambah kekuatan otot yang terlibat,” katanya.

Menurut beliau lagi, cara lain yang digunakan untuk merawat pesakit adalah melalui kaedah elektrikal, ‘Cryotherapy’, ‘Hydrotherapy’.

“Pesakit terlantar adalah pesakit yang terpaksa berada di atas katil akibat ketidakupayaan untuk bergerak seperti kecederaan kemalangan, kepatahan tulang belakang yang menyebabkan kelumpuhan kedua-dua anggota bawah ataupun ke empat-empat anggota iaitu anggota bawah dan atas bergantung kepada aras kecederaan tulang belakang, kecederaan otak, koma, amputasi pemotongan anggota bawah, penyakit kronik dan penyakit kongenital iaitu seseorang yang dilahirkan dengan masalah fizikal berpunca daripada kelumpuhan otak (cerebral palsy).

“Pesakit yang terlantar boleh sembuh atau tidak bergantung kepada tahap kecederaan dan kesungguhan untuk merawat melibatkan pihak perawat, pesakit serta penjaga. 

“Proses penyembuhan adalah bergantung kepada semangat pesakit itu sendiri serta bantuan daripada penjaga dalam usaha untuk kembali pulih,” jelasnya.

Mat Zain berkata, pesakit terlantar berisiko untuk mendapat komplikasi seperti kelemahan otot kekakuan sendi dan kependekkan otot akibat tidak digunakan dalam jangka masa yang lama.

“Selain itu komplikasi kudis tekan juga boleh berlaku di mana-mana bahagian badan yang berada dalam keadan tertekan dalam tempoh masa yang lama, penyumbatan salur darah iaitu salur vena dalam dan juga jangkitan kuman pada paru-paru akibat keadaan yang terlantar.

“Bagi mengurangkan risiko berlakunya komplikasi ini di samping memastikan keselesaan pesakit, penjaga perlu mengubah posisi pesakit sekurang-kurangnya dua (2) jam sekali, mendapatkan peralatan seperti ‘ripple mattress’ iaitu tilam angin dan juga melakukan senaman pasif atau separa pasif bagi membantu mengelakkan kudis tekanan dan darah beku pada kaki serta boleh meletakkan losyen pada tempat-tempat yang berisiko berkudis.

“Pastikan pesakit juga ditukar pakaian dan alas setiap hari bagi memastikan pakaian dan alas pesakit tidak  dikotori oleh kulit mati, cecair tubuh, najis, dan sisa makanan yang boleh menjadi tempat pembiakan kuman,” ulasnya lanjut.

Mat Zain turut berpesan agar semua ahli keluarga memainkan peranan penting dalam mempelajari, memahami tentang penjagaan pesakit terlantar dan mengamalkan kaedah kaedah yang disaran untuk mengelakkan komplikasi-komplikasi sekunder bagi  meningkatkan kualiti hidup serta tahap kesihatan pesakit.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Reka grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 816