GINJAL BOCOR, PESAKIT DIABETES PERLU AMBIL SERIUS
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Mei 2021 – Ginjal atau buah pinggang memainkan peranan penting dalam mengekalkan fungsi tubuh yang sihat. Ia merupakan sepasang organ di dalam badan manusia yang terletak di kanan dan kiri badan iaitu di belakang peritoneum dan bersaiz kira-kira satu genggaman tangan manusia.
Terdapat satu struktur di dalam buah pinggang yang mempunyai berjuta unit penapis kecil dinamakan nefron. Ianya terdiri daripada glomerulus dan juga tiub-tiub kecil yang berfungsi menapis segala bahan kumuhan atau toksik dari darah yang melalui buah pinggang dan keluar melalui air kencing.
Menurut Pensyarah/ Patologis, Jabatan Patologi Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Asyilla Che Jalil, jika terdapat kerosakan pada unit penapis terutamanya glomerulus, sistem ini akan mengalami kebocoran di mana protein yang merupakan komponen penting dalam darah turut tertapis bersama.
“Penyakit buah pinggang kronik ini merupakan pembunuh dalam senyap kerana pada peringkat awal tiada sebarang tanda-tanda yang ditunjukkan oleh seseorang pesakit memandangkan buah pinggang masih boleh berfungsi menghampiri normal (90% ke atas).
“Apabila kemerosotan buah pinggang telah mencapai tahap yang serius dan fungsinya merosot sebanyak 60% ke atas, pesakit akan mula menunjukkan tanda-tanda seperti bengkak kaki, sembab muka, kencing lebih kerap dan berbuih, cepat letih, pucat, hilang selera makan, tekanan darah tinggi, gatal seluruh badan serta loya dan muntah," ujarnya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM, di sini.
Dr Nur Asyilla berkata, penyebab utama penyakit buah pinggang kronik di Malaysia adalah berpunca daripada penyakit kencing manis yang merupakan penyakit tertinggi dihidapi penduduk ketika ini, walau bagaimanapun, penyakit lain juga boleh menyumbang kepada sakit buah pinggang kronik antaranya ialah tekanan darah tinggi, kegemukan, keradangan buah pinggang, batu karang, merokok serta pengambilan ubat tahan sakit berlebihan tanpa mengikut preskripsi doktor.
"Penyakit buah pinggang kronik dikesan dengan melakukan ujian darah, air kencing dan ujian ultrasound. Ujian darah adalah untuk mengetahui tahap fungsi buah pinggang dengan melihat pada kandungan kreatinin, urea dan sebagainya manakala ujian air kencing pula untuk mengesan kehadiran protein yang menunjukkan ada kebocoran pada sistem penapisan buah pinggang.
"Dalam keadaan tertentu, ada sesetengah pesakit terutamanya penyakit radang buah pinggang seperti glomerulonephritis atau lupus nephritis perlu melakukan prosedur biopsi tisu untuk mengetahui kategori penyakit buah pinggangnya bagi menentukan rawatan lebih lanjut," jelasnya lagi.
Tambah Dr. Nur Asyilla, rawatan terbaik bagi pesakit buah pinggang kronik adalah dengan melakukan pemindahan buah pinggang. Namun, bukan semua pesakit boleh melakukan pemindahan buah pinggang kerana ia bergantung kepada beberapa faktor antaranya ialah kesesuaian buah pinggang yang akan diterima daripada penderma serta keadaan penyakit lain yang dihidapi oleh pesakit itu.
“Apabila buah pinggang gagal berfungsi, doktor akan menasihati pesakit mengenai penggantian fungsi buah pinggang, rawatan ini dikenali sebagai dialisis, bertujuan untuk menyingkirkan bahan kumuh dan bendalir berlebihan daripada badan dan pesakit terpaksa bergantung kepada dialisis sepanjang hidupnya.
“Terdapat dua jenis rawatan dialisis iaitu peritoneal dialisis (PD), menggunakan cecair yang dimasukkan ke dalam rongga perut pesakit melalui satu tiup khas, berfungsi membuang bahan buangan dan cecair yang berlebihan dari badan dan hemodialisis (HD) menggunakan mesin hemodialisis yang mempunyai penapis khas bagi menapis darah dan membuang bahan buangan serta air berlebihan dari badan," katanya.
Bagi mengelak penyakit ini, Dr. Nur Asyilla menasihatkan pesakit melakukan pemeriksaan terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti pesakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, individu yang merokok, berat badan berlebihan dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang dalam keluarga.
“Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan yang seimbang, melakukan senaman, kawal berat badan dan berhenti merokok,” katanya.
Teks: Anawiah Abdul Aziz
- Created on .
- Hits: 215