Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

ILMU ANATOMI MANUSIA CERMINAN KEAGUNGAN PENCIPTA, TINGKAT KESEDARAN KESIHATAN ROHANI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 April 2025 - llmu anatomi manusia bukan sekadar berkisar tentang struktur tubuh badan, malah membuka ruang kepada manusia untuk lebih mengenali keajaiban ciptaan Allah SWT serta menumbuhkan rasa syukur terhadap nikmat kesihatan yang diberikan.

Anatomi manusia merujuk kepada kajian mengenai struktur tubuh manusia yang bermula daripada unit terkecil iaitu sel, seterusnya membentuk tisu, organ dan sistem yang berfungsi bersama bagi memastikan tubuh beroperasi dengan sempurna.

Kajian anatomi dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu mikrostruktur, makrostruktur dan pembentukan manusia daripada peringkat embrio sehingga kelahiran.

Kefahaman tentang anatomi sangat penting terutama bagi mereka yang menceburi bidang kesihatan. Ilmu ini menjadi asas kepada pelajar perubatan, pergigian dan sains kesihatan dalam memahami fungsi tubuh, sekaligus membantu merawat penyakit dengan lebih berkesan.

1000130421

Pensyarah Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Ab. Rashid Jusoh berkata, selain manfaat dalam bidang akademik, mempelajari anatomi mendorong manusia menghargai tubuh yang dianugerahkan serta menyedari kehebatan ciptaan Allah SWT.

“Setiap sistem tubuh berfungsi dengan sempurna dan harmoni bukti kebijaksanaan Allah SWT sebagai Sang Pencipta.

“Sebagai contoh, kelenjar pineal yang terletak di tengah otak berperanan menghasilkan hormon melatonin yang biasanya akan dirembes dengan banyak pada waktu malam untuk mengatur kitaran tidur manusia.

“Ia juga dirembes dengan kadar yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa,“ katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Ab. Rashid berkata, fenomena ini selari dengan ayat al-Quran dalam Surah Al-Furqan ayat 47, yang menerangkan bahawa malam dijadikan sebagai waktu untuk berehat manakala siang pula sebagai masa mencari rezeki.

Tambah beliau lagi, kesedaran tentang anatomi juga mengingatkan manusia supaya menghormati fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan tubuh yang sihat akan memudahkan ibadah di samping memupuk kesihatan rohani.

“Sebagai contoh, solat bukan sekadar ibadah tetapi juga merangkumi gerakan tubuh yang memberi manfaat kepada kesihatan.

“Dalam keadaan sakit, seperti gout yang menyerang sendi, sudah tentu sukar untuk solat dengan sempurna. Jadi, menjaga tubuh sebenarnya juga bermaksud menjaga kesempurnaan ibadah kita,” jelasnya.

Beliau turut menyeru semua golongan khususnya tenaga pengajar anatomi, agar mendidik pelajar bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi juga untuk memahami kehebatan ciptaan Allah melalui ilmu ini.

“Belajarlah ilmu anatomi bukan hanya untuk lulus peperiksaan tetapi anatomi ini adalah mengenai diri kita dan suatu hari nanti mungkin kita akan jatuh sakit dan banyak masalah berkaitan akan kita alami.

“Kenalilah tubuh kita, jagalah ia dengan baik sebagai tanda syukur atas nikmat yang diberikan," ujarnya ketika mengakhiri temu bual.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 33