Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KANSER PAYUDARA: KESEDARAN AWAL PENENTU PELUANG RAWATAN BERJAYA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 September 2025 – Kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap dihidapi wanita di Malaysia apabila merangkumi lebih 30 peratus (%) daripada keseluruhan kes kanser wanita.

Statistik menunjukkan, dianggarkan seorang daripada 19 wanita berisiko menghidap penyakit ini sepanjang hayat mereka. Namun, sebahagian besar pesakit hanya dikesan pada peringkat lewat, menjadikan kesedaran awal dan saringan mamogram sangat penting.

1000174973

Ketua Unit, Unit Kesedaran dan Penyelidikan Kanser Payudara (BestARi), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Maya Mazuwin Yahya berkata, antara faktor risiko utama bagi pesakit kanser payudara yang sering dikesan adalah peningkatan umur, sejarah keluarga, mutasi genetik BRCA1 dan BRCA2, obesiti, gaya hidup sedentari, pengambilan alkohol serta mempunyai sejarah pendedahan radiasi dada.

"Selain itu, faktor datang haid awal dan menopaus lewat yang berkait dengan pendedahan estrogen berpanjangan turut meningkatkan risiko kanser payudara.

“Kanser payudara boleh dikesan melalui beberapa tanda awal seperti kewujudan ketulan keras di payudara atau ketiak, perubahan bentuk dan saiz payudara, perubahan kulit seperti berkedut menyerupai kulit limau serta lelehan abnormal dari puting.

“Gejala lain termasuk perubahan kedudukan puting, sakit berpanjangan dan pembengkakan kelenjar limfa. Namun, tidak semua tanda bermaksud kanser, justeru pemeriksaan segera oleh doktor amat digalakkan,” katanya ketika ditemu bual dalam slot Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Maya Mazuwin, rawatan kanser payudara kini bersifat multidisiplin (dua atau lebih disiplin) melibatkan pembedahan sama ada lumpektomi atau mastektomi, radioterapi, kemoterapi, terapi hormon serta terapi sasaran.

"Kaedah gabungan ini terbukti membantu meningkatkan jangka hayat pesakit.

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal serta ujian memogram masih lagi kekal sebagai kaedah utama saringan kerana mampu mengesan kanser pada peringkat awal sebelum muncul gejala klinikal.

"Malah, laporan di Malaysia menunjukkan saringan mamogram dapat mengurangkan kadar kematian akibat kanser payudara sebanyak 15-30 % dalam kalangan wanita berumur 40 tahun dan ke atas," jelasnya lagi.

Menurut beliau, selain mamogram, teknologi 'Automated Breast Ultrasound' (ABUS) kini muncul sebagai pelengkap khususnya bagi wanita yang mempunyai tisu payudara padat.

"Kajian menunjukkan gabungan ABUS dengan mamogram meningkatkan kepekaan pengesanan sebanyak 36.4% dan mampu menambah kadar pengesanan kanser sehingga 7.7 kes bagi setiap 1,000 wanita yang disaring.

"ABUS mempunyai beberapa keistimewaan seperti standardisasi imbasan, kurang bergantung pada operator berbanding 'ultrasound' manual dan mampu mengesan ketulan kecil tersembunyi dalam payudara padat dengan lebih tepat.

"Walaupun terdapat sedikit peningkatan kes 'false positive', manfaatnya jauh mengatasi risiko tersebut kerana pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa," ujarnya.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, ABUS tidak tersedia di kebanyakan hospital di Malaysia.

"HPUSM adalah satu satunya hospital yang mempunyai fasiliti ABUS di Pantai Timur dan berharap agar penggunaannya dapat dioptimakan dalam kalangan komuniti," ulasnya lanjut.

Maya Mazuwin turut menjelaskan mitos bahawa kanser akan merebak jika terkena besi semasa biopsi atau pembedahan itu adalah kepercayaan lapuk yang tidak berasas dan semua pembedahan moden menggunakan alatan logam dan tiada bukti saintifik menunjukkan ia mempercepatkan penyebaran kanser.

"Hakikatnya, pembedahan kekal sebagai rawatan utama yang selamat untuk membuang tumor,” tegasnya lagi.

Beliau turut menasihatkan masyarakat untuk meningkatkan amalan pemeriksaan sendiri payudara, menjalani saringan berkala seperti mamogram dan memanfaatkan teknologi ABUS jika disarankan.

"Kesedaran dan tindakan awal bukan sahaja meningkatkan peluang rawatan berjaya, malah memperbaiki kualiti hidup pesakit serta mengurangkan risiko kematian akibat kanser payudara," katanya mengakhiri temu bual.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 320